Ahli KWSP Dibenar Keluarkan 10 Peratus Dari Akaun 1 Melalui i-Sinar

Reading Time: < 1 minute

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan sehingga 10 peratus dari jumlah simpanan akaun 1 mereka menggunakan kemudahan i-Sinar pada akhir Disember ini.

i-Sinar merangkumi ahli KWSP yang telah hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada jumlah minimum yang ada di dalam akaun 1 ahli.

Menurut perincian yang dikeluarkan oleh KWSP pada Isnin, mereka yang mempunyai jumlah kurang dari RM90,000 dalam akaun 1 boleh mengeluarkan sehingga RM9,000 dengan amaun pendahuluan sebanyak RM4,000 dikreditkan ke akaun bank ahli manakala baki RM5,000 dikreditkan secara ansuran sehingga 6 bulan.

Bagi pencarum yang memiliki lebih dari RM90,000 dalam akaun 1, mereka boleh mengeluarkan sehingga 10%, atau sehingga maksimum RM60,000. Amaun pendahuluan RM10,000 akan dikreditkan pada bulan pertama dan selebihnya secara ansuran sehingga 6 bulan.

Mereka yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember ini dan amaun pendahuluan akan dikreditkan pada penghujung bulan yang sama.

Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu mengganti semula amaun yang telah didahulukan dengan caruman bulanan 100% akan dikreditkan semula ke akaun 1 sehingga amaun pendahuluan telah diganti semula. Selepas itu, caruman akan kembali kepada asal iaitu 70% untuk akaun 1 dan 30% untuk akaun 2.

Keputusan terbaru yang dibuat kerajaan ini bakal memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak dengan anggaran melibatkan RM14 bilion.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pernah mencadangkan supaya ahli KWSP dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka sebanyak RM10,000 dari akaun 1 bagi membantu menangani masalah kehilangan pendapatan dan pekerjaan ekoran pandemik.

Beliau juga menyatakan ia sebagai salah satu syarat untuk Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) yang dianggotai 23 ahli parlimen dari BN untuk menyokong Belanjawan 2021.