Cubaan Jatuhkan Kerajaan: Nga Kor Ming Akan Lapor Polis Terhadap Saarani, Zambry

Reading Time: 2 minutes
IPOH – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengesahkan wujud komplot mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sehubungan itu katanya, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat untuk menyiasat dalang di sebalik komplot itu.
Ujar Kor Ming, laporan polis akan dibuat terhadap Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana mereka mengakui ada usaha menjatuhkan Menteri Besar Perak.
“Dengan pengakuan terbuka dari Saarani, Pengerusi Parti Amanah Rakyat Perak, Asmuni Awi dan Zambry, berdasarkan kepada fakta ini maka saya sahkan ada usaha nak cuba jatuhkan Kerajaan negeri Perak.
“Memang perkara ini wujud (cubaan jatuhkan Menteri Besar), saya telah berbincang dengan sekretariat Pakatan Harapan, Ketua Sekretariatnya YB Sivakumar akan buat laporan polis terhadap Saarani, Zambry dan mana-mana pihak terlibat.
“Ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 124b dan 124c Kanun Keseksaan, sekiranya ada usaha untuk menjatuhkan Kerajaan yang sahih ia adalah satu pengkhianatan dan dijatuhkan penjara 20 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Beliau membidas tindakan Saarani kerana cuba menimbulkan huru-hara berhubung itu tersebut.
“Saya menyeru pihak UMNO BN jadilah pembangkang yang konstruktif.. bukannya gunakan taktik kotor sekali lagi, cuba jatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau kecewa dengan tindakan Zambry yang mengelak untuk menjawab soalan ketika sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC).
“Apabila tak boleh jawab soalan dia (Zambry) lari dari mesyuarat PAC, ini adalah public account, bukan private account.. pengerusinya buat tindakan yang betul dengan menjadikan ia sesi pendengaran awam.
“DUN telah memberikan kuasa kepada Pengerusi PAC, dan mereka boleh buat prosedur sendiri samada terbuka atau tertutup, jelas Zambry cuma beri alasan saja, cuba mengelak untuk dedahkan perkara sebenar dalam MB Inc.
“Laporan audit bukan dokumen rahsia rasmi, ia seperti minit mesyuarat MMK atau kertas kabinet…laporan audit mana boleh jadi rasmi, jika rahsia..audit buat apa lagi? Tiada isu dalam hal itu,” katanya.