DAP Perolehi Majoriti Lantikan Ahli Majlis PBT Perak

Reading Time: 2 minutes

IPOH: DAP memperolehi majoriti bagi pelantikan ahli majlis untuk semua 15 pihak berkuasa tampatan (PBT) di negeri Perak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Yong Choo Kiong, lantikan ahli majlis PBT itu bukan sahaja melibatkan wakil daripada empat gabungan parti dalam Pakatan Harapan tetapi juga dua wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi setiap PBT selepas menerima ratusan permohonan mengenainya.

“Kita memilih ahli majlis mengikut peratusan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya tidak ada angka tepat kerana semuanya atas dasar persefahaman dan tolak ansur.

“DAP memperoleh majoriti kerana memenangi 18 kerusi diikuti oleh Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aktiviti turun padang meninjau kawasan di sekitar Taman Gunung Lang di Ipoh pada Selasa. Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zambri Man dan beberapa pegawai kanan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Yong berkata, pelantikan 312 ahli majlis untuk semua 15 PBT di negeri ini dijangka dapat diselesaikan pada minggu ini dengan proses angkat sumpah. Pada sidang media yang sama beliau berkata, semua 15 PBT di negeri ini telah diminta mengadakan program turun padang bertemu pelanggan dua kali sebulan bagi mendekati masyarakat dan memahami permasalahan yang berbangkit dan seterusnya mengambil tindakan penyelesaian.

Yong memberikan contoh menerusi program turun padang hari ini yang meninjau sebuah bangunan yang telah dibina di atas jalan di kawasan berhampiran Jalan Kuala Kangsar yang memerlukan penilaian dan penyelesaian semula untuk kepentingan masyarakat.

“Kalau kita tidak tengok kita tidak fahami permasalahan sebenar tapi apabila kita sudah melihatnya baharu kita fahaminya,” katanya.

Sementara itu, Yong berkata, semua PBT di seluruh negara termasuk kesemua 15 PBT di Perak akan mengadakan gotong royong membersih kawasan pada Sabtu ini. Tujuan gotong royong ini adalah untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes yang boleh mengakibatkan penularan wabak denggi yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Gotong royong ini adalah saranan dari Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin. Bagi Ipoh, ia akan diadakan di Taman Meru 1B.