Harussani Harapkan Kerajaan PH Dapat Bawa Kesempurnaan Lagi Kepada Umat Islam

Reading Time: 2 minutes

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Haji Zakaria mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu memerintah akan dapat membawa kesempurnaan lagi kepada umat Islam di Malaysia.

Katanya, ini kerana dunia memandang negara ini sebagai sebuah negara yang mana rakyatnya sentiasa hidup dalam suasana aman dan damai.

Dalam konteks negeri Perak pula katanya, baru-baru ini telah diadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Pakatan Harapan telah berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Kita ucap tahniah juga kepada Menteri Besar baharu…Setiap parti yang ditubuh dalam negara kita mempunyai manifesto dan manifestonya semuanya untuk kebaikkan.

“Tidak ada satu parti yang buat manifesto yang tidak baik jadi kita harap mereka yang telah menang dapat buat satu-satu kebaikkan …kalaupun tidak melebihi yang lalu tapi sekurang kurangnya dia menjalankan tugas membangunkan negara kita dan juga umat Islam.

“Jadi kita harapkan kerajaan baharu ini akan melaksanakan tanggungjawab yang berterusan.

“Kita tak kisah parti siapa parti yang naik kerana kita tahu setiap parti yang naik bertujuan untuk membawa kebaikkan .

“Saya sendiri ucapkan tahniah kepada Menteri Besar baharu yang memerintah dengan baik InsyaAllah.

“Kita baharu sahaja selesai adakan pilihan raya dan Pakatan Harapan berjaya membentuk satu kerajaan …Kita mengharapkan bahawa kerajaan baharu ini akan membawa kesempurnaan lagi kepada umat Islam di Malaysia.

“Kita berharap supaya kerajaan yang ada pada hari ini lebih membawa kesempurnaan kepada umat kerana setakat ini dunia memandangkan kepada Malaysia,’’ katanya kepada media di pejabatnya di Kompleks Islam Ipoh pada Jumaat.

Harussani menambah, Malaysia sudah merdeka berpuluh tahun tapi belum ada lagi persengketaan yang berlaku dalam negara.

“Kita tak ada perselisihan dan persengketaan seperti yang berlaku di negara-negara lain…Setiap kali pilihan raya, setiap kali tertubuhnya kerajaan baharu ia tertubuh dengan aman dan damai.’’ Kata Harussani.

Malah katanya, kerajaan yang ditubuh ini dapat memberi kesempurnaan, pembangunan negara dan pembangunan ummah.

“Saya banyak juga berjalan ke luar negara dan bila disebut dari Malaysia ..masing masing memuji negara Malaysia yang begitu baik aman dan damai…Jadi mudah-mudahan perkara ini berlanjutan dan kita menjadi negara contoh seluruh dunia.’’ ujar Harussani.

Baru-baru ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Ahmad Faizal Azumu dilantik Menteri Besar Perak yang baharu .

Istiadat penyampaian surat cara pelantikan dan upacara angkat sumpah itu disempurnakan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah.

Berangkat sama pada upacara itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Istiadat pengisytiharan pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak itu turut disaksikan oleh para pembesar negeri, wakil rakyat PH serta ketua-ketua jabatan kerajaan di negeri ini.