Hentikan Dahulu Bazar Ramadan Untuk Tahun Ini

Reading Time: < 1 minute

ULASAN | Kerajaan sepatutnya memikirkan semasak-masaknya sebelum berhasrat membenarkan bazar Ramadan beroperasi tahun ini. Walaupun ada ura-ura mengatakan prosedur operasi baru akan diperkenalkan bagi mengawal penularan wabak, atau apa cara sekalipun, jalan yang paling baik dan selamat ialah tidak mengadakan bazar Ramadan langsung.

Lupakan dahulu buat kali ini. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk menjalankan perniagaan bazar. Semua orang harus berkorban dalam menghadapi cabaran tahun ini. Tidak perlu mengkaji bagaimana hendak kendalikan bazar Ramadan pasca koronavirus. Wuhan dikurung selama jampir 2 bulan. Seoang peniaga buah-buahan di Hubei berkata dia tidak ada pendapatan selama 3 bulan. Seorang lagi peniaga bersedih kerana terpaksa melupakan hasrat menemui anak-anaknya yang mahu pulang bercuti ketika Tahun Baru Lunar yang lalu. Semua itu memerlukan pengorbanan.
Tetapi masih ramai yang berjaya mengharung waktu-waktu sukar itu. Sehingga hari ini, perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya. Sekolah masih belum dibuka semuanya. China masih menutup pintu maasuk kepada pelawat dari negara luar.

Apalah gunanya kita berkurung di rumah selama sebulan untuk menghalang penularan wabak yang mematikan itu apabila ia berakhir dengan tindakan yang tidak bijak membiarkan semuanya kembali seperti sebelumnya, hatta pada tahap minima sekalipun.

Tidak perlu bazar Ramadan buat masa ini dan mungkin juga tiada solat Aidil Fitri dan sambutan hari raya mungkin terpaksa diadakan secara tertutup, kurangkan kunjungan sebaliknya gunakan teknologi tanpa perlu kunjung mengunjungi secara fizikal. Anggap sahaja tahun ini tahun yang amat berbeza tapi ia amat bersejarah. Ia mengajar semua rakyat Malaysia bersatu dalam melawan virus. Bersatu melawan dengan duduk diam di rumah tidak perlu keluar pergi bertempur di medan perang. Setiap warga akan mengingati hari raya tahun ini sebagai hari yang unik. Itulah uniknya tahun 2020.

Janganlah jadi seperti melepaskan kambing dari kandang setelah dikurung selama sebulan maka akan lari bertempiaranlah kambing-kambing itu mencari makanan.