Ibu Mertua MB Perak Santuni Penghuni PEKITA

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Bersempena Majlis Hari Raya Aidilfitri, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Wanita Perak, Datin Normah Hanum Dato’ Ibrahim menyantuni penghuni Pertubuhan Rumah Orang Tua-Tua (Islam) Titian Abadi (PEKITA) di Taman Kinta Perdana, Lahat tengah hari semalam.

Hadir sama meraikan warga emas di rumah orang tua-tua itu,  Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Datuk Mohamed Radzi.

Program bermula dengan majlis tazkirah  bertajuk `Tanggungjawab Anak Menjaga Orang Ibubapa ‘ yang disampaikan oleh Ustaz Amer Ahmad Saib.

Datin Normah dalam ucapannya memuji peranan dan tanggungawab besar yang dimainkan oleh Haji Ahmad Wanchik dan isteri kerana masih kekal bertahan selama 10 tahun mengurus tadbir PEKITA meskipun berdepan pelbagai dugaan dan rintangan.

Namun begitu, katanya, PEKITA yang merupakan satu-satunya rumah kebajikan Orang Tua-Tua (Islam) di negeri Perak  harus diurus tadbir dengan lebih baik lagi termasuk dari segi pengurusan kesihatan para penghuninya dan kebersihan persekitaran rumah kebajikan itu.

Datin Normah yang juga ibu mertua Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seterusnya berkata, menyedari kepentingan menjaga kesihatan penghuni rumah kebajikan itu, pihaknya bercadang untuk menghantar doktor pakar jantung bagi membuat pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, katanya, pihaknya akan mengadakan program penanaman pokok hiasan  sebagai terapi kesihatan buat penghuni rumah kebajikan berkenaan selain menggalakkan orang ramai berkunjung kesitu untuk memberikan suntikan kasih sayang agar mereka sentiasa dihargai dan disayangi.

Beliau juga berpesan kepada generasi muda yang masih mempunyai ibubapa supaya sentiasa menjaga dan menyayangi kedua ibubapa mereka selagi mereka masih hidup dan tidak mengabaikan.  

Menurut Normah beliau menzahir rasa amat sedih kerana terdapat kisah-kisah pilu dimana ada anak-anak yang langsung tidak menjengok dan mengambil khabar selepas menghantar orang tua mereka ke rumah kebajikan orang tua-tua.

Sementara itu Pengerusi PEKITA, Haji Ahmad Wanchik berkata, peruntukan tahunan sebanyak RM30,000 yang diterima pihaknya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mengcukupi sehingga pihaknya terpaksa mencari jalan lain untuk menampung kos perbelanjaan pentadbiran dan penyediaan makanan kepada penghuni rumah berkenaan.

“Masalah bekalan makanan kering tidak menjadi masalah kerana pihak PEKITA sentiasa menerima bantuan daripada orang ramai tetapi yang paling utama ialah mendapatkan wang tunai untuk membeli barangan basah dan lain-lain keperluan bagi penghuni rumah ini,” katanya.

Beliau juga menzahirkan penghargaan tnggi kepada Datin Hanum kerana menempatkan dua orang pekerja baharu yang terlatih dari segi pengurusan kebajikan dan kesihatan orang tua-tua yang dibayar gaji sendiri oleh pihak Pertubuhan Prihatin Wanita Perak.

Majlis itu diserikan dengan penyampaian duit raya kepada 40 anak yatim dari Yayasan Amanah An Nur Maisarah Chemor