Jangan Pinggir Golongan Berbeza Pendapat – Sultan Nazrin

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, golongan yang berbeza pendapat tidak harus dipinggirkan dalam usaha membentuk demokrasi matang di negara ini.

Menurut baginda, Malaysia mesti mengelakkan amalan tidak sihat sesetengah negara di mana ‘pemenang mengambil semua’.

Sultan Nazrin bertitah, semua orang di Malaysia harus menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dengan melibatkan mereka berkepentingan di dalam perjalanan bersejarah ini.

“Kita baru sahaja menyaksikan Pilihan Raya Umum ke-14, dua bulan lalu di mana rakyat Malaysia, pengundi, melakukan transformasi politik yang besar, walaupun belum pernah terjadi sebelumnya melalui peti undi.

“Dari saat ini, dalam sejarah baru negara kita, saya berharap rakyat Malaysia berkeyakinan untuk mempengaruhi masa depan negara mereka,” titah baginda dalam ucaptama semasa Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh pada Selasa. Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Sultan Nazrin mengulangi ketegasan bahawa rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan lokasi geografi perlu percaya bahawa mereka mempunyai tempat di negara ini Baginda turut menekankan pentingnya usaha memperkasakan golongan muda kerana mereka telah bersedia untuk memainkan peranan menentukan masa depan negara.

“Kita sering bercakap tentang anak-anak muda menjadi pemimpin dan pembuat dasar untuk esok, tetapi saya mencadangkan bahawa kita juga perlu melakukan lebih untuk membuat orang muda berasa aktif berunding dan terlibat dalam membuat keputusan hari ini.’’ titah Sultan Nazrin.