Kemiskinan, Pendidikan Bukan Penyebab Seseorang Jadi Pelampau – Ibu Yenny

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kemiskinan dan pendidikan bukan menjadi penyebab seseorang itu menjadi pelampau. Menurut seorang pembentang di Persidangan Permikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT), Ibu Yenny Wahid, ia disebabkan rasa kecewa, marah dan adanya rasa ditinggalkan ketika mereka melihat ketidakadilan.

Beliau berkata, kajian nasional yang dijalankan terbukti banyak pengebom berani mati itu berpendidikan, cukup berpengaruh dan juga baik dari segi ekonomi. Ibu Yenny menyebut contoh seorang pengebom berani mati dari negara itu yang sekarang berada di Syria.

“Keluarga dia saudagar batik di Solo dan dia berpendidikan Sarjana, jadi ini contoh paling mudah. Bukan pendidikan, bukan kemiskinan buat orang jadi radikal,” katanya kepada pemberita di persidangan itu di Hotel Casuarina@Meru pada Selasa.

Beliau yang juga Pengarah The Wahid Institute, Indonesia turut mengakui tindakan anak-anak muda yang membabitkan diri dengan ulama yang kononnya berjuang atas nama jihad tetapi dengan cara menjadi pengebom dan bunuh diri.

“Mereka ingin lakukan sesuatu, ikut demonstrasi tumbangkan rejim tetapi bertemu dengan orang yang mengaku sebagai ulama tetapi ajaran yang diajar untuk berjihad dengan cara bunuh diriā€¦ Ini merupakan kombinasi yang parah,” katanya.

Beliau turut mengakui cabaran lain yang menyumbang kepada golongan radikal ini ialah bahan kandungan di dalam media online.

“Cabaran lain ialah bahan di online yang berbaur kebencian,” katanya.

Ibu Yenny juga membangkitkan peranan berkesan yang pernah dimainkan oleh wali-wali sembilan di Indonesia antaranya Sunan Kalijaga yang menerapkan misi dan visi penyebaran syiar Islam menerusi seni.

Katanya, peranan yang dimainkan oleh para wali ini terbukti berjaya menyatupadukan ummah ke arah penyebaran syiar Islam di Nusantara.