Kerajaan PH Tidak Pernah Janji Hakmilik Kekal Kepada Semua

Reading Time: 3 minutes

Sejak kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai baru-baru ini, sudah mula kedengaran beberapa pihak dari kalangan parti kerajaan yang mahu meneruskan agenda menunaikan janji pilihan raya. Antara desas-desus tentang janji pilihan raya itu ialah pemberian hakmilik tanah kekal kepada pemilik tanah di kampung baru yang dipelopori oleh parti DAP.

Tetapi benarkah ia sebahagian janji pilihan raya yang dibuat oleh kerajaan PH?

Sebenarnya, kalau sesiapa mengikuti ucapan Ahmad Faizal ketika membentangkan manifesto Pakatan Harapan di sebuah hotel di Ipoh sebelum pilihan raya umum berlangsung tahun lalu, beliau tidak pernah menyebut kerajaan PH akan memberikan hakmilik kekal kepada seluruh warga negeri Perak yang mendiami tanah-tanah di Felda, kampung tersusun dan kampung baru.

Rakaman video penuh ucapan beliau masih boleh disaksikan di laman Youtube sehingga hari ini. Apa yang beliau sebut dalam ucapan itu ialah “kerajaan akan menganugerahkan hakmilik tanah kekal kepada mereka yang berkelayakan”.

Di dalam video itu jelas beliau menyebut hanya akan memberikan hakmilik kekal tanah kepada mereka yang ‘berkelayakan’. Perkataan berkelayakan sudah tentu membawa maksud sesuatu atau seseorang itu perlu melalui suatu atau lebih dari satu proses penelitian terlebih dahulu sebelum boleh dinilai sebagai ‘layak’ untuk menerima hakmilik tanah kekal yang dikatakan sehingga 999 tahun itu. Kerajaan mempunyai hak untuk memutuskan sama ada seseorang itu layak atau tidak menerima tanah hak milik kekal mengikut kriteria yang dan alasan-alasan yang boleh ditentukan oleh kerajaan.

Selain manifesto hakmilik kekal kepada mereka yang berkelayakan, dalam ucapan manifesto perkara ketiga, Ahmad Faizal juga ada menyebut akan mempertahankan tanah rizab orang Melayu, mengekalkan kuota pemilikan pemilikan rumah untuk Bumiputera, tanah adat, tanah perkuburan, tanah rezeki orang Asal (Asli) juga akan dilindungi demi kesejahteraan bersama. Perkara ketiga ini tidak pula kedengaran diperjuangkan oleh DAP di Perak. Mereka hanya memilih sebahagian manifesto dalam masa yang sama mereka mendiamkan manifesto yang lain yang dilihat tidak memberi kepentingan dan faedah kepada mereka.

Pemilikan hakmilik tanah sehingga 999 tahun adalah tidak munasabah sama sekali kerana ia merugikan kerajaan dalam jangka masa panjang. Sepatutnya tidak terdapat klausa pemilikan sehingga tempoh sedemikian lama. Ia tidak masuk akal dan terlalu menurut kehendak pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

Bayangkan pemilikan tanah sehingga hampir seribu tahun tanpa perlu membayar premium hatta RM100 pun. Ia adalah keterlaluan. Ramai lagi penduduk kampung tersusun yang tidak pernah menuntut hak pemilikan sehingga sedemikian lama. Lagipun, tidak ada jaminan bahawa kerajaan tidak boleh mengambil semula tanah yang telah diberi hakmilik kekal terhadap individu. Pembinaan MRT Ampang Park di Kuala Lumpur adalah satu contoh di mana kerajaan telah mengambil semula tanah yang telah diberi hakmilik kekal.

Maka jika hendak menunaikan janji pilihan raya demi untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang, lebih baik tumpukan kepada janji-janji lain yang lebih memberi faedah kepada semua rakyat warga negeri Perak secara keseluruhan, bukan memenuhi kehendak golongan tertentu sahaja.

Antara manifesto lain yang disebut ialah memberi pengiktirafan atau anugerah kepada kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan penuh integriti, memperbanyakkan lesen perniagaan untuk penjaja dan memberi kemudahan pinjaman kredit mikro kepada mereka yang hendak memulakan perniagaan, menyemak semula kadar cukai pintu kepada nilai yang lebih munasabah, mempromosi kelestarian alam sekitar serta pembangunan institusi wanita yang agak kurang kedengaran, kalau tak silap.