Kumpulan Pemantau Malaysia Baru Berhimpun di Bukit Aman

Reading Time: < 1 minute

Kumpulan yang menggelar diri mereka Pemantau Malaysia Baru yang diketuai Lokman Adam berhimpun di hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini bagi menyatakan ‘solidariti’ kepada Yang diPertuan Agong.

Kumpulan itu cuba berarak ke Parlimen tetapi dihalang oleh polis.

Hari ini, Yang diPertuan Agong berkenan merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur.

Minggu lepas, Lokman mendakwa suara Yang diPertuan Agong hilang apabila jawatan berkaitan undang-undang dan perundangan negara diberi kepada orang bukan Islam.

Menurut kumpulan itu, perlantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Richard Malanjun sebagai ketua hakim negara menyebabkan hak Yang diPertuan Agong untuk memilih individu untuk menjawat jawatan² itu sudah tidak ada.

Lokman menyatakan himpunan yang diadakan hari ini adalah untuk menyatakan sokongan kepada Yang diPertuan Agong dan mahu kuasa Yang diPertuan Agong dikembalikan.

Beberapa anggota kumpulan itu menggantung poster di baju mereka antaranya tertulis ‘Daulat Tuanku’, ‘Kembalikan Kuasa Agong’ dan ‘Agong Payung Agama Islam’. Turut kelihatan dalam kumpulan ialah pelakon Elly Suriyati.

Anggota polis yang bertugas dan pasukan Unit Simpanan Persekutuan yang menjalankan tufas secara professional dapat mengawal keadaan dengan baik.