Pemberian Hakmilik Tanah Kekal Belum Pernah Dibincang Dalam Mesyuarat Exco

Reading Time: 2 minutes

Foto dari Facebook Faizal Azumu

KAMPAR | Isu mengenai pemberian hakmilik tanah kekal belum pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, isu itu perlu dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Majlis Presiden Pakatan Harapan. Beliau turut mengingatkan supaya tidak menjadikan media sebagai platform untuk mengeluarkan pelbagai pendapat yang akhirnya akan menimbulkan keresahan rakyat.

“Kita mengambil pendirian isu ini perlu dibawa kepada perhatian Perdana Menteri dan Majlis Tanah Negara untuk dibincangkan di peringkat yang lebih tinggi.”

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu kepada 54 penerima dan Pelancaran Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu, Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari dalam satu sidang media berkata kerajaan negeri dijangka dapat melaksanakan pemberian hak milik kekal tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 dalam masa terdekat. Beliau turut berkata keputusan mengenai pemberian itu akan diumumkan sebelum Tahun Baru Cina awal tahun depan.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri, dan Majlis Tanah Negara tidak mengambil alih kuasa penuh negeri ke atas tanah serta hanya menetapkan soal dasar dan terpulang kepada negeri-negeri untuk melaksanakan atau tidak,” katanya.

Semalam, Aziz mengeluarkan satu lagi kenyataan media menekankan semua anggota kabinet boleh bercakap mengenai sesuatu dasar kerajaan dan portfolio hanyalah bersifat pentadbiran dan dengan itu beliau berhak untuk bercakap mengenai dasar kerajaan negeri.