Penduduk Changkat Larang Dapat Masjid Baharu Dengan Rekabentuk Unik

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Penantian sekian lama penduduk Kampung Changkat Larang untuk mempunyai masjid baharu akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila urusan pembinaan masjid berkenaan akan bermula tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, peruntukan sebanyak RM3 juta bagi kos keseluruhan projek itu juga telah diluluskan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan.

Menurut beliau, masjid yang terletak hanya 300 meter dari kedudukan masjid lama bakal memuatkan 700 jemaah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri mencadangkan pembinaan masjid baharu itu dengan bentuk segi empat tanpa kubah sepertimana yang dicadangkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

“Kita mencadangkan pembinaan sebuah masjid berbentuk empat segi tanpa kubah menggunakan rekabentuk sedia ada yang telahpun dibina pihak JKR di tempat lain.

“Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos kerana menggunakan kepakaran arkitek JKR malah dapat memendekkan jangka masa pembinaan,” katanya selepas meninjau tapak pembinaan masjid baharu Kampung Changkat Larang semalam.

Terdahulu, Mohamad Nizar mendengar taklimat perancangan pembinaan masjid itu yang disampaikan oleh Jurutera Awam Penguasa JKR Perak, Muhammad Harridzan Abdullah.

Masjid baharu ini akan dibina di sebidang tanah wakaf seluas kira-kira 0.93 hektar manakala tapak masjid sedia ada adalah tapak tanah wakaf perkuburan Islam.