Peningkatan Pelabur Bukan Kerana Usaha Kerajaan Terdahulu

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan Pakatan Harapan Perak telah berjaya menarik pelaburan yang cukup memberangsangkan walaupun tidak sampai setahun menjadi kerajaan, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Nizar berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan bernilai RM2.3 bilion bagi negeri Perak dimana 59% adalah pelaburan domestik manakala 41% adalah pelaburan asing. Ia melibatkan 57 projek secara keseluruhan. Projek-projek itu berpotensi untuk mewujudkan sebanyak 2,600 peluang pekerjaan.

Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa usaha untuk menarik pelabur terutama dari luar negara akan terus ditingkatkan dengan dasar mengutamakan pelaburan berteknologi dan berkualiti tinggi, tidak mencemar alam sekitar dan tidak bergantung kepada tenaga kerja asing.

Merujuk kepada maklumbalas daripada ADUN Changkat Jering kononnya projek-projek pelaburan yang diluluskan adalah hasil usaha kerajaan terdahulu, beliau menegaskan bahawa pelabur-pelabur ini pada mulanya berhasrat untuk melabur di tempat lain memandangkan polisi kerajaan negeri terdahulu yang tidak mesra pelabur apabila memperkenalkan pelbagai cukai baharu kepada syarikat seperti cukai di bawah pengurusan persisir pantai (MP4).

Menurutnya lagi, lawatan kerja dan perjumpaan yang diadakan bersama pelabur-pelabur yang disertai InvestPerak, UPEN, MITI dan MIDA telah berjaya meyakinkan mereka untuk memuktamadkan pelaburan di negeri Perak.

Sejak PH mengambil alih tampuk kepimpinan, pelaburan telah meningkat dengan ketara dari RM371 juta kepada RM1.515 bilion.