Persoal Janji Manifesto: PAS Tidak Berprinsip, Tidak Konsisten – Aziz Bari

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan Pakatan Harapan sangat komited memastikan janji manifesto dijayakan sepenuhnya bukan sekadar pemberian hak milik tanah kekal kepada peneroka Felda, kampung tersusun dan kampung baru sahaja. Malah ia meliputi kesemua 5 dasar utama dan 10 tumpuan seperti yang tercatit dalam manifesto Pakatan Harapan. Demikian menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Perak, Dr, Abdul Aziz Bari hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kalau dahulu PAS dan Barisan Nasional mempersoalkan janji manifesto yang patut dikotakan oleh PH, kini sebaliknya pula yang berlaku. Mereka cuba mengaitkan pemberian hak milik tanah kekal sebagai sesuatu yang bersifat perkauman apabila ia cuba dilaksanakan.

“Suka saya menegaskan di sini, apa yang dituntut oleh DAP Perak di dalam konvensyennya baru-baru ini jelas menyebut bahawa DAP menuntut kerajaan menunaikan semua janji PRU-14 termasuklah pemberian hak milik tanah kekal kepada bukan sahaja kaum Cina di kampung baru, tetapi juga meliputi kaum Melayu khususnya apabila ia turut melibatkan peneroka Felda dan kampung tersusun,” jelas Abdul Aziz.

Tindakan Pesuruhjaya PAS Perak tidak menyokong PH meneruskan janji manifesto menunjukkan parti itu tidak berprinsip, tidak konsisten dan suka mengambil pendekatan populis dan oportunis semata, menurut kenyataan itu.

Pada 2008 semasa bersama Pakatan Rakyat, PAS pernah menyokong pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada penduduk kampung baru. Bagaimanapun, agenda PH yang mahu menunaikan janji manifesto PRU-14 memberikan hak milik kekal dikatakan rasis.

“PAS perlu menjelaskan pendirian mereka berkenaan hukum hudud dan negara Islam kepada rakan sekutu mereka MCA yang jelas menentang secara terang-terangan.

“Serahkan tanggungjawab kepada kerajaan negeri dalam melaksana janji kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Beliau turut mengingatkan PAS agar tidak menjadikan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat sebagai permainan politik golongan yang tidak bertanggungjawab.