PORT Dijenama Semula Untuk Lahir & Kenal Pasti Lebih Ramai Bakat Seni

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pusat Koloni Karyawan Amanjaya (P.O.R.T) sedang mengorak langkah menjenamakan semula fungsi asalnya untuk mencungkil dan melahirkan seramai mungkin bakat-bakat muda dalam bidang kesenian dan kreatif.

Menurut Pengurus Besarnya, Puan Nur Hanim Mohd Khairuddin, jika sebelum ini PORT lebih banyak mengatur program untuk majlis keramaian tetapi kini ia lebih menumpukan usaha untuk melahirkan dan mengenalpasti lebih ramai kalangan bakat seni dan seni kreatif dalam kalangan golongan muda di negeri ini.

“Antara agenda utama PORT ialah memberi peluang dan ruang kepada anak² Perak khususnya dan seniman secara amnya.

“Kita cuba memberi bimbingan kepada yang mereka yang memerlukan supaya dapat mengembangkan lagi bakat sedia ada.

“Kita telah mula membuat satu sistem database (pengkalan data) penggiat² seni dan menyenaraikan para seniman dalam pelbagai disiplin seni seperti pelukis, pemuzik dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui Independent pada majlis berbuka puasa di PORT, Ipoh pada Jumaat.

Katanya, PORT akan memperluaskan usaha ini bukan hanya di PORT sahaja malah di daerah-daerah lain yang telah dikenalpasti mempunyai ramai bakat muda dalam bidang kesenian dan seni kreatif.

Menurut Nur Hanim, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai di sekitar Bandaraya Ipoh untuk menyediakan ruang dan pentas kecil untuk mereka yang berbakat menghasilkan kraftangan dan berekspresi seperti membaca puisi, bermain muzik dan sebagainya. Antara lokasi itu ialah di Taman Kanak-Kanak (TKK) dan Medan Dato Sagor.

Baginya, walaupun baru dua bulan dilantik untuk mengendalikan PORT selepas peralihan kuasa kerajaan baharu beliau mempunyai banyak perancangan untuk menjadikan PORT sebagai pusat karyawan yang lebih berdaya saing.