Projek Loji Rawatan Kumbahan Ancam Keselamatan Penduduk

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kira-kira 21 keluarga yang menetap di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman kini hidup dalam kebimbangan kerana terdedah kepada ancaman mendapan tanah yang dipercayai berpunca daripada pelaksanaan projek loji kumbahan berhampiran kediaman mereka.

Mereka juga tidak menolak kemungkinan kejadian mendapan tanah boleh meruntuhkan struktur rumah terutama yang terletak berhampiran projek itu pada bila-bila masa sekiranya projek loji kumbahan itu tidak ditangani pihak berwajib dengan segera.

Seorang penduduk, Mohammad Shah Malek, 31, berkata, sejak projek itu dimulakan awal 2016, mereka sentiasa bimbang kerana berlaku gegaran dan keretakan rumah di samping habuk dari kawasan projek.

“Keretakan rumah berlaku sedikit demi sedikit sehingga yang paling teruk, awal tahun ini, dia punya empangan pecah menyebabkan berlaku pergerakan rumah, menyebabkannya retak, kami penduduk sangat risau,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Mohammad Shah menzahirkan perasaan lega sebaik menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi yang juga Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Penerangan negeri, YB Dr Abdul Aziz Bari untuk membuat tinjauan di kawasan dan rumah penduduk yang terlibat.

Difahamkan projek yang dimaksudkan ialah Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Papan atau dikenali sebagai Projek Papan 1 bernilai RM2 bilion.

Mohammad Shah seterusnya mendakwa, susulan kejadian itu, penduduk yang terlibat diberikan pampasan antara RM3,000 hingga RM50,000, bergantung kepada kerosakan yang berlaku, di samping beberapa jaminan. Bagaimanapun, katanya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, jaminan yang diperkatakan pihak kontraktor hanya tinggal jaminan dan senyap begitu sahaja.

“Apa yang kami harapkan agar pihak kontraktor bertanggungjawab apa yang telah dijanjikan kepada kami dan kami mahu projek siap, kami di sini berada dalam keadaan yang selamat,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Hazrul Mohd Nor Kamal, 37, pula berkata, beliau serta penduduk terbabit amat bimbang tentang nasib masa depan mereka.

“Memang saya rasa tak puas hati, takut di masa akan datang, apabila projek dah siap, tiba-tiba berlaku keruntuhan rumah ke, takut beri kesan kepada kami.
“Cuma kami nak diberikan pampasan ataupun jaminan agar kami merasa selamat tinggal di sini,” katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz memberitahu pemberita, beliau akan menemui pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kontraktor bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah yang dihadapi penduduk taman terbabit.

“Yang kita berasa musykil, tidak adakah kajian dibuat oleh kerana projek dilaksanakan berhampiran dengan kawasan perumahan seperti ini.
“Kita tidak menafikan projek yang penting tetapi seharusnya kajian ataupun langkah-langkah untuk menjaga kepentingan penduduk di kawasan itu dibuatlah,” katanya.