Siti Aishah Berlapang Dada Jika Tidak Dilantik Jadi Penasihat MB

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, beliau akan berlapang dada sekiranya tidak dipilih menjadi Penasihat Menteri Besar Perak.

Katanya, tujuan beliau membangkitkan perkara tersebut kepada umum kerana ia berkait dengan isu parti dan bukan jawatan milik individu. Sehubungan itu Siti Aishah mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin.

Beliau tidak mahu dilihat sebagai mendesak tetapi tegurannya bertujuan supaya pimpinan Pakatan Harapan negeri bersifat lebih matang, terbuka dan boleh dikritik oleh golongan muda sepertinya yang mahukan perubahan kepemimpinan dalam era Malaysia Baharu.

“Seandainya Majlis Pakatan Harapan Perak memikirkan tidak mahu melihat saya berada di posisi itu, saya masih mahu ia diberikan kepada kepemimpinan lain dalam PKR kerana keseimbangan perlu ada dalam rakan-rakan Pakatan Harapan Perak.

“Saya lihat PKR hanya memiliki dua kerusi exco dalam kerajaan negeri, jadi saya rasa tidak salah kalau kita tambah, walaupun bukan saya yang duduk dalam kepemimpinan kerajaan negeri bagi membantu kerana ini ialah kerajaan bersama yang kita bina atas inisiatif rakyat,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di kediaman keluarganya di Taman Pinji Perdana, Ipoh pada Ahad.

Foto dari Facebook Siti Aishah