Sungai Kurau Mampu Lonjak Industri Eko Pelancongan Perak – YB Yunus

Reading Time: 2 minutes

KUALA KURAU | Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari optimis Sungai Kurau mampu menjadi produk eko pelancongan terbaharu sekaligus melonjakkan industri pelancongan di negeri Perak.

Namun begitu, katanya, usaha lebih giat perlu dijalankan oleh agensi yang terbabit dengan kerjasama pemain-pemain industri pelancongan bagi memperkenalkan potensi semula jadi sedia ada Sungai Kurau.

“Selain kawasan Ban Pecah yang terkenal dengan pantainya, Kuala Gula kawasan persinggahan dan habitat burung, Sungai Kurau juga berpotensi besar untuk diperkenalkan sebagai produk eko pelancongan,” kata Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau.

Abdul Yunus berkata demikian kepada pemberita pada majlis perlepasan konvoi bot mengibarkan Jalur Gemilang dalam Program Menyusuri Sungai Kurau sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah Kerian di Jeti Polis Marin Kuala Kurau pada Khamis.

Sebanyak 21 bot membabitkan aset pelbagai agensi kerajaan daerah Kerian dikumpulkan bagi membawa konvoi Jalur Gemilang menyelusuri Sungai Kurau bermula di Jeti Marin, di sini dan berakhir di Kampung Padang Lalang, Gunong Semanggol dengan jarak 53 kilometer.

Turut menyertai program itu, Orang Besar Jajahan Kerian, Toh Maharaja Indera, Datuk Khairuddin Arshad dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.   

Konvoi mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-62 itu mengambil masa perjalanan selama lebih dua jam setengah di samping membuat persinggahan di beberapa hentian yang ditetapkan bagi mempromosi kempen mengibarkan Jalur Gemilang.

Sementara itu Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri ketika ditemui pemberita berkata, program menyusuri Sungai Kurau akan dijadikan sebagai program tahunan.

Mohd Sabli Bakri., Daerah Kerian

Katanya, pihaknya telah mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk para pemain industri pelancongan yang berminat untuk memperkenalkan Sungai Kurau sebagai produk eko pelancongan.

“Kita sentiasa terbuka dan mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang berminat untuk menjadikan Sungai Kurau sebagai produk eko pelancongan.” katanya.

Menurut beliau, program menyusuri Sungai Kurau yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan terbukti berjaya menonjol dan meneroka sumber kekayaan alam semula jadi di sungai berkenaan.