Sungai Rui di Hulu Perak Mengandungi Arsenik Penyebab Kanser Kulit

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Sungai Rui di Hulu Perak dikesan mengandungi bahan logam Arsenik yang dipercayai boleh menyebabkan kanser kulit kepada individu yang terdedah dengannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari yang mendedahkan perkara itu bagaimanapun berkata, situasi itu tidak sampai ke tahap kronik seperti mana yang berlaku di Sungai Kim Kim, Johor, baru-baru ini.

Menurut beliau, pemantauan sedang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Perak untuk menentukan kualiti air sungai tersebut.

Aziz bagaimanapun tidak menolak kemungkinan punca kehadiran logam itu dipercayai akibat kegiatan perlombongan.

“Semua jabatan yang berkaitan sedang membuat kompilasi berhubung kandungan logam arsenik di sungai berkenaan dimana keputusannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Operator perlombongan yang sudah lama beroperasi di kawasan itu menyedari keadaan ini.

“Kerajaan negeri juga sedar dan langkah berjaga- jaga telah diambil dengan menjalankan aktiviti penguatkuasaan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Menurut Aziz, beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan negeri dengan kewujudan kes kanser kulit yang dihadapi oleh penduduk di sekitar Sungai Rui.

“Sungai Rui yang berkeladak dan keruh dikesan dicemari Arsenik tetapi bukan di tahap kritikal namun kerajaan perlu buat sesuatu sebelum kejadian lebih buruk berlaku.

“Ini bukan bermaksud untuk hentikan kegiatan perlombongan tetapi kita nak lihat cara untuk mengawal,” katanya.

 Beliau berkata, antara kesan-kesan awal kepada kanser kulit ialah gatal di seluruh badan kerana terdedah dengan air sungai itu.