Tujuh Pegawai Eksekutif Syarikat GLC Dipecat… Perbelanjaan Tidak Masuk Akal

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memecat tujuh pegawai berstatus eksekutif salah sebuah syarikat GLC utama negeri ini di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu kerana mendapati perbelanjaan syarikat berkenaan melebihi kos dan disifatkan ‘ridiculous’ (tidak masuk akal).

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mendedahkan syarikat berkenaan tidak membuat keuntungan namun mempunyai kos perbelanjaan yang tinggi. Menurut beliau, tindakan memecat tujuh pegawai eksekutif itu akhirnya telah berjaya mengurangkan kos sebanyak RM150,000 sebulan.

“Saya perlu mengambil pendekatan mengecilkan lebihan kos iaitu terpaksa memecat ramai pekerja.

“Namun ia akan menyebabkan sebilangan besar hilang punca pendapatan jadi kita akan cuba selesaikan dengan cara bijaksana,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Tambun Berhari Raya bersama Pakatan Harapan di Tanjung Rambutan pada Ahad.

Ahmad Faizal dalam ucapannya di majlis itu berkata, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan penjimatan termasuk mengenalpasti GLC yang bermasalah.

“Dalam masa satu hari 7 orang pegawai pangkat tinggi telah dipecat dan ia menjimatkan RM150,000 sebulan tetapi jangan fikir kita boleh terus kosongkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) serta Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) tidak boleh begitu.

“Ada satu GLC telah guna perbelanjaan bagi membayar gaji dan sewa pejabat dan kereta sehingga mengalami lebihan kos sehingga RM1.6 juta tapi Pakatan Harapan amalkan politik kasih sayang bukanya menjatuhkan orang.

“Jika ada 11 orang pemandu kereta sebenarnya tak perlu jumlah itu tetapi jika pecat semuanya 11 keluarga hilang punca pendapatan jadi kita ambil keputusan bijaksana ketuanya sudah dipecat,” katanya.

Beliau juga memberitahu pemberita bahawa semua barisan Exco tidak akan membeli dan menggunakan kereta baru sebaliknya menggunakan kereta sedia ada atau kenderaan sendiri.

“Kami tidak membeli kereta baru dan akan pakai kereta sedia ada sebagai langkah penjimatan agar setiap wang dapat beri perkhidmatan pada rakyat walaupun sepatutnya selepas lima tahun kereta digunakan jumlah perjalanan akan tinggi tetapi saya ambil keputusan tidak mengambil apa-apa kereta baru untuk tahun ini malah akan ada pengumuman lelongan kereta oleh syarikat GLC kelak,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa pihaknya telah memberi cadangan agar tiada penganjuran jamuan disediakan selepas mesyuarat, perjumpaan dan sebagainya untuk langkah penjimatan.

“Namun bagi jamuan penting seperti jamuan hari raya ia dibenarkan tetapi bagi jamuan selepas mesyuarat rasanya tidak perlu,” katanya.