Orang Asli Tolak Pemberian ‘Saguhati’, Lapor Kepada SPRM

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Seramai 10 Orang Asli penduduk Kampung Lawai, Sungai Siput tampil membuat laporan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ipoh hari ini mendakwa mereka cuba disogok dengan ‘saguhati’ dalam bentuk wang tunai oleh pihak tertentu kononnya supaya penduduk kampung tidak membuat laporan terhadap aktiviti pembalakan yang sedang dijalankan di kawasan tanah adat mereka.

Menurut wakil dari pertubuhan NGO kumpulan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Shazni Bhai, yang bertindak sebagai orang tengah untuk mengembalikan semula wang tunai tersebut, Orang Asli penduduk Kampung Lawai sebenarnya menolak pemberian saguhati itu kerana mereka ragu-ragu berkenaan tujuan pemberian wang tersebut.

“Setelah mengadakan perbincangan, mereka bersepakat setuju untuk memulangkan wang berkenaan dan meminta pihak SPRM menyiasat,” katanya.

Kegiatan ‘pemberian’ wang tersebut dikatakan berlaku pada 3 Oktober 2019 yang lalu di Kampung Lawai di mana sebanyak 30 keluarga Orang Asli diberikan wang tunai berjumlah RM40,000.

Menurutnya lagi, wang tunai itu dipercayai disalurkan melalui pihak tertentu kepada wakil penduduk Orang Asli kampung tersebut oleh pihak yang berkepentingan dalam operasi pembalakan di kawasan yang terlibat.

“Ada wakil orang kampung termasuk Tok Batin Kampung Lawai telah dipanggil mesyuarat di Jabatan … dikatakan turut hadir bersama ialah taukeh balak dan juga wakil Jabatan …,” kata Shazni.

Dakwanya, selepas tiga orang (wakil Orang Asli) itu pulang ke kampung, dua dari mereka telah memanggil orang kampung untuk buat mesyuarat dan di sana wang saguhati tersebut telah diedarkan kepada penduduk yang hadir.

Matseri bin Pandak

Menurut Matseri bin Pandak, wakil penduduk Orang Asli Kampung Lawai yang hadir membuat laporan hari ini, dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jalong sebelum ini iaitu satu sebagai langkah keselamatan untuk mengelak sesuatu yang buruk terjadi kepada penduduk Orang Asli Kampung Lawai, satu lagi adalah untuk penyerahan semula wang saguhati tersebut.

Katanya lagi, sebelum ini penduduk Kampung Lawai telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri berhubung aktiviti pembalakan di kampung tersebut tetapi buat masa ini masih belum menerima jawapan.

Beliau berharap dengan adanya laporan SPRM hari ini, kerajan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab ke atas pencerobohan tanah adat untuk aktiviti pembalakan tersebut.

Apabila ditanya apakah tujuan pemberian saguhati itu, katanya beliau diberitahu oleh saudaranya yang telah menerima wang tersebut memaklumkan kepadanya bahawa ia ‘saguhati’ daripada pembalak sebelum kerajaan negeri bertindak menyita projek pembalakan di situ.

Kegiatan yang hampir sama pernah berlaku sebelum ini terhadap penduduk Orang Asli Kampung Piah, Sungai Siput di mana pihak pembalak dikatakan cuba menyogok wang tunai sebanyak RM1,150 untuk setiap keluarga dengan harapan mereka mendiamkan diri terhadap aktiviti pembalakan di sana namun ditolak oleh Orang Asli di situ.