Utusan Henti Operasi Esok

Utusan Henti Operasi Esok

KUALA LUMPUR 9 Sept.- Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. akan memberhentikan operasi perniagaannya berkuat kuasa esok, menurut memorandum pekeliling yang dikeluarkan syarikat itu kepada kakitangan hari ini.

Memorandum yang ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir itu turut menjelaskan tarikh akhir bekerja kakitangan telah ditetapkan pada hari ini manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada hari Khamis, 31 Oktober 2019.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. telah melalui tempoh perniagaan yang paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun yang lalu. Keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei 2018.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin, antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka. Ini merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat.

“Syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat,” kata Abd. Aziz.

Menurut Aziz, bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak dan syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang.

“Langkah ini terpaksa diambil kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan,” katanya menerusi memorandum pekeliling itu lagi.

Sementara itu, satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi akan diadakan pada pukul 3 petang 30 Oktober di Dewan Besar Utusan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan ketika sesi taklimat berkenaan berlangsung.-UTUSAN ONLINE

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments