Jangan beban rakyat dengan kenaikan kadar cukai

Reading Time: 3 minutes

DUA Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP dan MBSP, telah menaikkan cukai taksiran bagi sejumlah 322,549 dan 327,401 hartanah di bahagian Pulau dan Seberang Perai. Alasan yang diberikan terhadap langkah ini ialah pihak majlis bandaraya tidak pernah menyemaknya sejak 15 tahun lepas dan mereka juga mengalami defisit tahunan sejak 2016.

MohideenDilaporkan bahawa sehingga April 2019 terdapat 54,792 pembayar cukai berhutang dengan MBPP sebanyak RM58,332,933 pada separuh pertama tahun ini. Kami menggesa majlis bandaraya mengambil tindakan berkesan untuk mengutip sejumlah besar tunggakan cukai taksiran itu. Kutipan tunggakan itu amat penting kerana sepertimana dalam kes ini, jumlah yang berhutang dengan MBPP amat mengejutkan dan ini hanya bagi separuh pertama bagi tahun ini.

Menaikkan cukai taksiran bagi semua pada masa ini adalah satu keputusan yang buruk memandangkan keadaan ekonomi ketika ini dan separuh daripada bilangan mereka yang bekerja di negara ini memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,000. Sehubungan itu, kami menyarankan agar kadar taksiran bagi kumpulan B40 dikekalkan.

MBPP mestilah menghentikan projek yang membazir. Ia mengumumkan rancangan untuk melaksanakan 31 projek infrastruktur antara 2020 dan 2022 berjumlah RM179.03 juta. Bagi MBSP pula akan melaksanakan 46 projek dalam tempoh yang sama berjumlah 169.74 juta. Kutipan cukai taksiran akan digunakan untuk membiayai projek oleh dua majlis bandaraya ini. Majlis bandaraya tidak perlu membelanjakan RM348.77 juta untuk projek yang tidak diperlukan dengan membebankan pembayar cukai terutamanya kumpulan B40.

Antara projek yang diperuntukkan bagi 2020 ialah pemasangan 100 kamera CCTV baharu dan penyelenggaraan peralatan yang sedia ada berjumlah RM11.36 juta. Satu lagi contoh lain bagi projek yang membazir ialah cadangan projek terowong bawah tanah yang bernilai RM30 juta daripada pertengahan jalan Mount Erskine ke Hospital Adventist di Jalan Burma.

Adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa kerajaan tidak menyemak semula cukai taksiran sejak 15 tahun lepas kerana terdapat peningkatan pada 2015, walaupun terdapat peningkatan antara 7.5 dan 8.5 peratus bagi apartmen dan antara 8.3 dan 9.3 peratus bagi hartanah bertanah. Pada waktu itu, perumahan kos rendah (LC) dan sederhana rendah (LMC) meningkat 0.5 peratus yang kurang daripada RM10.

Cukai taksiran sepatutnya disemak semula setiap lima tahun tetapi kadarnya tidak perlulah meningkat sehingga 70 peratus dalam sesetengah kes. Ini bertentangan dengan apa yang dikatakan bahawa terdapat “hanya sedikit kesan kepada kira-kira 75 peratus pembayar cukai yang hanya perlu membayar di bawah RM100 setahun” dan mereka yang berada di dalam kumpulan berpendatan rendah “hanya perlu membayar beberapa ringgit tambahan sahaja”. Bagi kerajaan menggunakan kenaikan yang tinggi untuk membiayai sebahagian projek pembangunan benar-benar tidak sensitif kepada realiti ekonomi rakyat. Kenaikan mendadak seperti itu akan memberikan kesan kepada golongan miskin dan pesara.

Kenaikan cukai taksiran sepatutnya lebih tinggi bagi premis yang tidak didiami bagi mengekang spekulasi hartanah manakala ia sepatutnya lebih rendah jika pemiliknya tinggal di situ. Pengurangan cukai taksiran bagi pemilik premis yang mendudukinya (Konsesi Diduduki Pemilik) diamalkan sehingga kira-kira dua dekad lalu apabila ia tidak diteruskan lagi. Lebih-lebih lagi jika terdapat pengurangan peningkatan dalam cukai taksiran bagi premis yang diduduki, ia akan menggalakkan pemilik hartanah untuk merendahkan sewa mereka untuk memastikan premis mereka disewa.

Kebimbangan kami ialah kepada golongan miskin dan kurang berpelajaran yang memiliki flat kos rendah atau unit perumahan mampu milik. Golongan ini adalah mereka yang paling sedikit membuat rayuan walaupun diminta untuk berbuat demikian sebelum 14 Oktober 2019. Oleh sebab itu, kami menggesa kerajaan agar mempertimbangkan semua faktor sebelum berbelanja atas nama pembangunan dalam keadaan tertentu seperti ini.


Mohideen Abdsul Kadir ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.