Polis Tahan Pegawai PGA Lepas Tembakan

Reading Time: < 1 minute

Gambar hiasan

IPOH, 7 Okt — Seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta ditahan selepas dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senjata api, di rumah tunangnya di Taman Merdeka di sini petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata dalam kejadian antara pukul 6 hingga 7 petang itu, pegawai berpangkat Inspektor berusia 29 tahun itu, pergi ke rumah tunangnya menaiki motosikal sebelum suspek dan tunangnya yang berusia dalam lingkungan 20-an bergelut dan suspek kemudian melepaskan tembakan.

“Siasatan awal mendapati pegawai itu melepaskan tembakan dipercayai bergaduh mengenai masalah hubungan dan tembakan terkena pada kaki anjing peliharaan tunangnya itu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis di sini hari ini.

Razarudin berkata pegawai itu yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian, Perlis itu, telah menghilangkan diri pada Jumaat lepas dan laporan polis mengenainya diterima sehari selepas kehilangannya.

Katanya pegawai berkenaan berjaya ditahan pasukan kereta peronda polis (MPV) sejurus kejadian dan turut merampas senjata api dan kelonsong peluru yang digunakan ketika kejadian, serta motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Razarudin pemeriksaan urin ke atas suspek didapati negatif, selain tiada rekod jenayah lampau dilaporkan.

Beliau berkata perintah reman terhadap pegawai itu akan dimohon hari ini, bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan bunuh.

Terdahulu, pada majlis hari ini, bekas Ketua Polis Daerah Alor Gajah ACP A Asmadi Abd Aziz menerima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh yang baharu, daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Supt Mohamad Nordin Abdullah yang memangku jawatan itu sejak 9 Ogos lepas.

Beliau menggantikan SAC Mohd Ali Thamby, yang telah dilantik sebagai Ketua Staf Pasukan Khas, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

— BERNAMA