Syarikat GLC Perlu Penstrukturan Semula

Reading Time: 2 minutes

Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri (SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri (PKEIN) serta beberapa yang lain merupakan jentera pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri Perak.

Justeru, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad hendaklah memastikan mereka yang dilantik mengetuai pentadbiran eksekutif syarikat ini benar-benar berkelayakan, berpengalaman dan mempunyai reputasi yang selayaknya memegang jawatan berkenaan.

Amat malang ketika ini apabila syarikat-2 GLC ini diterajui oleh mereka tidak menampakkan sesuatu yang boleh memacu perubahan kepada syarikat dan negeri amnya sebaliknya telah membawa syarikat menuju kehancuran.

Rakyat amat kecewa dengan perkembangan terkini mengenai laporan terbaru berhubung isu penggulungan syarikat PCB Development Sdn. Bhd (PCDB) yang merupakan anak syarikat kepada Perak Corp. Berhad (PCB).

Menurut Menteri Besar Dato’ Saarani Mohamad seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal dalam talian milik kerajaan pada 10 Jan 2022, tindakan penggulungan PCDB itu berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Malah beliau menambah, ia tidak mengakibatkan kerugian kerana kerajaan negeri tidak terlibat dalam pelaburan syarikat itu.

Dalam temubual wartawan Independent dengan bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin baru-baru ini, beliau tidak sependapat dengan kenyataan Saarani. Menurutnya, PCDB adalah anak syarikat kepada Perak Corp Berhad (PCB). PCB adalah anak syarikat PKNP dimana PKNP dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Menteri Besar sendiri.

“PCB ini ada kena-mengena dengan PKNP – PKNP merupakan anak syarikat kepada kerajaan negeri.

“Apabila anak syarikat bermasalah untuk membayar hutang-hutangnya, maka ia juga akan menjejaskan ‘parent company’ iaitu PKNP. PKNP adalah syarikat yang sepenuhnya milik kerajaan negeri,” ujarnya.

PCB kini telah disenaraikan oleh Bursa Malaysia sebagai syarikat PN17 iaitu syarikat dalam pasaran utama yang satu langkah ke arah terkeluar dari senarai Bursa.

Tambah beliau, perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang adalah bertujuan untuk menyelamatkan PCB dari diburu oleh pemiutang-pemiutang yang menjejaskan prestasi syarikat dan akhirnya menyebabkan syarikat gulung tikar.

“Bila PCB gulung tikar, maka seluruh aset miliknya akan tergadai termasuk tanah-tanah yang dimiliknya.

Inilah yang dikhuatiri oleh pembangkang jika tindakan segera untuk menyelamatkan PCB tidak diambil.