Rakyat Bakal Tolak Parti Rasis Dalam PRU-15

Reading Time: 2 minutes

IPOH, 8 Jan 2022 – Pilihan raya umum ke-15 akan datang bakal menyaksikan rakyat menolak parti-parti ‘besar’ berbau rasis demi perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

Naib presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, rakyat berbilang kaum ini juga akan turut bertekad memilih perdana menteri yang mempunyai rekod bersih dalam memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat.

“Kita melihat hari ini rakyat amat terkesan apabila berlaku kekalutan politik sehingga menjejaskan ekonomi dan pembangunan negara.

“Rakyat sudah muak dan bosan dengan kekalutan ini dan mahu melakukan perubahan dalam pemilihan pucuk pimpinan negara,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri Tanjong Aru sejak 2018.

Junz berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Program Penyerahan Borang Keahlian Parti Warisan di Ipoh malam tadi.

Junz mengulangi kenyataan beliau bahawa Warisan bukan sekadar parti yang hanya mahu bertanding tetapi ingin menang dalam setiap pertandingan dalam pilihan raya. Warisan akan menjadi ‘king maker’ kerana katanya tidak ada parti yang bakal mendapat mojoriti dalam PRU-15 nanti.

Dalam ucapannya, Junz turut menyatakan keyakinan bahawa Warisan mampu memperoleh sehingga 40 kerusi parlimen untuk blok Borneo.

“Tanpa blok Borneo, tiada parti yang akan dapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Maka sebab itulah Warisan menawarkan keahlian berbilang kaum dan kita amalkan dasar terbuka untuk sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang bakal membentuk kerajaan kelak,” katanya.

Tambahnya lagi, pendirian Warisan adalah tidak mahu jadi pembangkang sebaliknya mahu jadi sebahagian dari kerajaan persekutuan.

Beliau yang pernah memenangi kerusi Likas dalam parlimen Kota Kinabalu atas tiket DAP pada PRU-13 juga menyebut Warisan sedia bekerjasama dengan DAP walaupun rakan blok Borneo Sabah Sarawak menolak DAP.

Junz juga mengakui Warisan perlu bekerja keras dalam melebarkan sayap parti itu di Semenanjung.

Beliau menzahirkan rasa terkejutnya apabila rakyat di Semenanjung sudah mula menerima perjuangan Warisan.

“Dalam siri lawatan saya ke Taiping dan Ipoh, rakyat Perak menyambut baik kehadiran kami termasuk kaum Cina,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menerima 1,000 borang keahlian parti yang disertai pelbagai lapisan kaum.