Nizar Optimis PH menang PRK DUN Kuala Kubu Baharu

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 28 Apr 24 – Mantan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin optimis kemenangan bakal diraih calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu bersandarkan komitmen jitu kerajaan dalam membela nasib rakyat.
Katanya, kesungguhan kerajaan Madani hari ini jelas dibuktikan menerusi usaha pucuk pimpinan sekarang dalam memantapkan dan merancakkan sektor ekonomi negara.

“Kerajaan hari ini yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha keras untuk membangunkan ekonomi negara demi membela nasib masa depan dan kesejerahteraan rakyat.’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada Independent selepas meraikan Majlis Aidil Fitri ADUN Sungai Rapat pada Ahad. Lebih 1000 tetamu hadir pada majlis itu yang turut dihadiri ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi.
Menurut ADUN Sungai Rapat itu, soal calon parti yang diketengahkan tidak timbul sama sekali kerana matlamat utama yang hendak dicapai ialah memastikan kemenangan di pihak PH.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mencalonkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN. Sementara itu PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei manakala pegundian awal pada 7 Mei.