Mujahid Tuntut Dusuki Padam Ucapan Atau Hadapi Tindakan Mahkamah

Reading Time: < 1 minute

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani selepas beliau mendapati Dusuki masih meneruskan siri ucapan bersifat fitnah dan penghinaan terhadap mahkamah selepas beliau kalah dalam saman terhadap Mujahid sebelum ini.

“Saya juga mendapati kenyataan-kenyataan Dusuki mempunyai unsur-unsur penghinaan kepada Mahkamah apabila Dusuki dilihat bukan sahaja mempertikaikan, malah memperlekehkan dan memutar belitkan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata Mujahid.

Ekoran dari itu, Mujahid melalui peguamnya hari ini telah mengeluarkan Notis Tuntutan supaya Dusuki memadamkan ucapan berbentuk fitnah atau mengelirukan dalam tempoh 48 jam dan membayar gantirugi berjumlah RM1,000,000.000.

Selain itu, dalam surat sebelum ini bertarikh 5 Sep. 2023, peguam beliau telah menghantar notis menuntut Dusuki membayar keseluruhan kos yang diperintahkan oleh Mahkamah sebelum ini berjumlah RM23,000.00 dalam tempoh 14 hari.

Beliau menambah, sekiranya Dusuki gagal mematuhi tuntutan-tuntutan itu, beliau tidak teragak-agak akan meneruskan tindakan Mahkamah terhadap Dusuki, termasuk prosiding menghina Mahkamah.

Dalam kenyataan di laman Facebook beliau, Mujahid tidak menyatakan sama ada ucapan itu berbentuk hantaran di media sosial atau rakaman video.

Dusuki sebelum ini telah kalah dalam samannya terhadap Mujahid dalam isu tuduhan penjualan aset Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam. Mahkamah memutuskan tuduhan Dusuki adalah tidak benar dan beliau kemudian membuat rayuan yang ditolak oleh mahkamah.