Ahli Koperasi KAKIB Layak Mohon Pembiayaan Khas Sehingga RM3,000

Reading Time: 2 minutes

Rosli Mansor Ahmad Razali

IPOH, 14 April 2020 – Ahli Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) layak membuat pinjaman sebanyak RM 3,000 dengan kadar faedah serendah 2.5 peratus.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi KAKIB, Khairul Anuar Mohd Nor selepas Program Sumbangan Prihatin KAKIB di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) baru-baru ini.

Beliau berkata, Pembiayaan Khas Covid-19 KAKIB itu merupakan inisiatif bagi meringankan bebanan anggota yang memerlukan.

“Had maksima pinjaman ialah RM3000 pada kadar keuntungan 2.5%. Permohonan boleh dibuat bermula 15 April hingga 29 Mei 2020.

“Borang boleh didapati di laman web rasmi KAKIB di www.kakib.my atau terus ke pejabat KAKIB. Permohonan dan kelulusan tertakluk kepada terma dan syarat. Bayaran balik pembiayaan akan dibuat bermula September 2020.

“Selain itu kita juga sedang menunggu keputusan dari pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk membayar dividen awal. Sekiranya diluluskan kita akan memaklumkan kepada anggota-anggota KAKIB”, katanya.

Khairul Anuar juga memberitahu urusan perkhidmatan Al-Rahnu KAKIB dibuka dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis dari jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Pada masa yang sama Khairul Anuar turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas yang keseluruhannya bernilai RM10,000 kepada anggota-anggota KAKIB serta golongan yang memerlukan.

“Program Sumbangan Prihatin KAKIB ini merupakan salah satu aktiviti CSR kami. Bantuan ini difokuskan kepada anggota-anggota KAKIB dan orang awam yang terkesan oleh Covid-19 yang menular sekarang ini.

“Kami juga memberi sumbangan minuman dan ‘hand sanitizer’ kepada ‘frontliner’ di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan petugas-petugas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai tanda sokongan moral serta menghargai mereka yang berjuang memerangi covid 19”, tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Bendahari KAKIB, Mohd Zamal Abidin Wahid dan Pengurus KAKIB Safar Travel & Tour, Mohamed Jamaluddin.