Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Pula Keluar UMNO, BN

Reading Time: 2 minutes

TAIPING: Apa sudah jadi dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak pada saat ini apabila seorang demi seorang ahli parlimennya bertindak meninggalkan parti dan BN.

Baharu petang tadi, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan keluar UMNO dan BN serta mengisytihar menjadi wakil rakyat bebas.
Serentak itu beliau melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan Pengerusi BN Parlimen Bukit Gantang.

Syed Abu Hussin bagaimanapun menjelaskan beliau tidak terfikir untuk menyertai parti lain dan tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik lain. Beliau akan meneruskan tugasnya sebagai ahli Parlimen dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa ada gangguan politik UMNO setelah menjadi ahli bebas.

Syed Abu Hussin mendedahkan beliau terpaksa membuat keputusan itu kerana kecewa apabila wakil rakyat Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Jamilah Zakaria tidak diberi laluan dalam barisan kepimpinan pada pemilihan UMNO bahagian itu Sabtu lalu.

“Saya terpaksa membuat keputusan ini demi memberikanpeluang kepada mereka yang mampu memimpin UMNO Bahagian Bukit Gantang walaupun pilihanraya lalu saya memimpin jentera Bukit Gantang mengharungi tsunami hingga berjaya 4-0 (Bukit Gantang, Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering) mengatasi badi kekalahan dua penggal.

“Saya mengadakan mesyuarat meminta supaya semua jentera membantu saya kekal bersama saya dalam saf kepimpinan agar dapat mengatur jentera pilihanraya ke-15 tetapi malangnya pada minggu lepas apa yang saya harap hancur apabila pertandingan Pemuda UMNO Bahagian melihatkan kehancuran 15 cawangan dibatalkan begitu juga dua orang wakil rakyat baharu, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Jamilah Zakaria tidak mendapat tempat dalam kepimpinan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Taiping pada Rabu.

Menurut Syed Abu Hussin, tindakan pemilihan itu telah memberikan satu tamparan buatnya mengenai isyarat yang ingin ditunjukkan oleh pimpinan di bawahnya kepada rakyat yang telah memilih wakil rakyat DUN Changkat Jering dan DUN Trong namun tidak diberikan tempat dalam barisan kepimpinan.

“Kekecewaan itu menyebabkan saya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan menyerahkan tugas kepada Timbalan saya Mohd Kamarudin Abu Bakar.

“Ahmad Saidi telah tewas bertanding Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Jamilah tidak menawarkan diri kerana tidak merasakan ada laluan.

“Saya merasakan tindakan saya wajar kerana saya yang melalui jerih perit setelah saya memulihkan UMNO dan berjaya membawa kemenangan tetapi jentera ini telah dihancurkan… Itulah peritnya,” katanya Syed Abu Hussin.

Ahad lalu, Anggota Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 172 undi, turut mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan Pakatan Harapan serta Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

“Buat masa ini saya menjadi anggota Parlimen bebas…dan insya-Allah akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).” katanya dalam sidang media di Bagan Serai.

Katanya, beliau membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira kepentingan rakyat yang diwakilinya serta demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Dr Noor Azmi keluar parti setelah rakyat memilihnya pada PRU14.

“Saya harap Dr Noor Azmi mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU14 bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan,” katanya.