Tengku Razaleigh Optimis Dapat Pencalonan Terbanyak Dari Perak

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh menaruh keyakinan penuh akan mendapat pencalonan terbanyak dari negeri Perak berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, beliau menaruh keyakinan itu bersandarkan pencalonan terbanyak yang diterimanya dari Perak dalam tahun 1987.

“Saya selalu yakin kepada Perak.. Dalam tahun 1987 pun, Peraklah yang bagi pencalonan terbanyak sekali kepada saya di antara negeri-negeri lain.

“Tun Mahathir kata mustahil…. Dia tak percaya orang Perak sayang kat saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup pada sesi ramah mesra pada semua perwakilan UMNO negeri Perak di Hotel Impiana, Ipoh pada Rabu. Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ditanya ada pihak ingin melihat kelemahan kerajaan sekarang untuk UMNO bangkit semula, Tengku Razaleigh berkata, UMNO mesti perkuatkan kedudukannya dan mesti bersedia mengambil alih pemerintahan.

“Tapi kalau kita kucar-kacir tak bersedia, lemah semangat bagaimana kita nak mengambil alih… Kita mesti menyakinkan rakyat dan yakinkan diri kita bahawa kita bersedia (ready) kemudian kita boleh mengambil alih.

“Saya nampak mereka bersedia… Banyak orang yang mengundi Pakatanpun nampak kesal dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin daripada kalangan Pakatan hari-hari,” ujarnya.

Ditanya seorang wartawan UMNO menunggu pihak kerajaan sekarang berpecah baru nak ambil kesempatan, Tengku Razaleigh berkata, “Kita tak tunggu kesempatan… kita akan guna kesempatan tetapi kita akan cari kesempatan.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang seterusnya menegaskan UMNO mahu semua pihak menjadi satu keluarga semula.

“Kita mesti bersatupadu barulah kita boleh pulih keadaan kita dan terutama sekali keyakinan kita supaya iman kita menjadi kuat,” katanya.