airasia ride Perluas Perkhidmatan Ke 4 Bandar Utama

Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU, 19 Disember 2021 – Selepas pelancaran perkhidmatan di Pulau Pinang baru-baru ini, airasia ride hari ini mengumumkan pertambahan ke empat lagi bandar utama, iaitu Johor Bahru, Ipoh, Seremban dan Melaka, bertujuan untuk memberikan kemudahan dan tambang yang lebih kompetitif untuk pelanggan setempat serta peluang pendapatan yang lebih baik untuk pemandu tempatan.

Sempena pelancaran ini, pelanggan airasia ride di empat bandar itu kini boleh menikmati tambang perjalanan serendah RM1 setiap hari sehingga 25 Disember 2021 selain penumpang di Johor Bahru boleh menikmati perjalanan percuma ke dan dari Paradigm Mall sehingga 21 Disember 2021.

Menurut kenyataan media airasia ride, pemandu airasia ride di semua bandar ia beroperasi berpeluang untuk mendapatkan penerbangan AirAsia percuma dengan hanya melengkapkan 30 perjalanan antara 3 hingga 16 Januari 2022. Sebanyak 1,000 penerbangan percuma disediakan. Pendaftaran boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi pemandu airasia ride atau dapatkan maklumat lanjut di www.airasia.com/aa/ride/driver.html.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride Malaysia, dengan pengembangan perkhidmatan ini, pelanggan bukan sahaja dapat menikmati tawaran perjalanan dan gaya hidup terbaik, tetapi juga boleh menempah perjalanan mereka dengan tambang lebih rendah sekitar 10-15 peratus daripada pasaran melalui satu platform yang mudah di airasia Super App.

“Apa yang paling penting, kami berbangga untuk terus berkhidmat kepada masyarakat setempat dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di bandar-bandar ini.

“Para pemandu kami akan menerima 85 peratus dari tambang yang dikenakan. Mereka juga diberi kebebasan untuk memilih kekerapan dan jumlah tempahan mengikut keselesaan dan ketersediaan mereka, tanpa perlu risau akan didenda supaya mereka lebih fokus kepada prestasi di jalan raya dengan kualiti dan keselamatan terbaik kepada penumpang, ” kata beliau.

Untuk mendapatkan perkhidmatan e-panggilan airasia ride, pelanggan boleh menempah melalui aplikasi airasia Super App yang disediakan untuk platform android dan iOS.