Anai-Anai Dalam Kerajaan Negeri Atau Kuda Trojan?

Reading Time: 3 minutes

Datuk Saarani kelmarin memberi amaran kepada Menteri Besar Perak bahawa wujudnya termites (anai-anai) di kalangan ahli dewan eksekutif negeri dan ahli dewan undangan negeri Pakatan Harapan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris.

Tambahnya, anai-anai ini bakal menjatuhkan kerajaan negeri.

“Anai-anai hidup di dalam batu. Walaupun kita tidak dapat melihatnya dari luar, mereka akan bekerja di dalam batu sehingga ia hancur, “katanya.

Mengikut kamus Merriam-Webster, termites diberi definisi sebagai “mana-mana serangga sosial bertubuh lembut berwarna-warni yang hidup di koloni yang terdiri daripada bentuk seksual bersayap, pekerja steril tanpa sayap dan askar, memakan kayu, termasuk beberapa yang sangat merosakkan struktur kayu dan pokok”.

Jadi, anai-anai diberi pengkelasan dalam bentuk koloni atau lebih dari satu. Anai-anai tidak berkesan jika hanya ada seekor. Mereka bekerja secara berkumpulan (teamwork) untuk meruntuhkan struktur sebuah pokok atau rumah yang diperbuat dari kayu. Dalam koloni anai-anai juga terdapat kasta atau kelas. Ada yang tugasnya untuk membiak, ada yang bekerja dan ada yang tugasnya memakan kayu sedikit demi sedikit.

Dengan memakan kayu dari dalam sedikit demi sedikit, kayu yang kelihatan kukuh dari luar itu sebenarnya losong di dalamnya dan menunggu masa untuk roboh dan menyembah bumi.

Kembali kepada kenyataan Saarani, “Pakatan sudahpun mempunyai anai-anai. Jika mereka tidak percaya, itu terpulang kepada mereka”.

Beliau nampaknya begitu yakin berkata demikian. Adakah benar Pakatan mempunyai begitu ramai ‘anai-anai’ yang sedang merosakkan gabungan beberapa parti yang membentuk kerajaan itu dari dalam atau cuma memerlukan seekor sahaja yang lebih berkuasa untuk merobohkan parti dengan begitu mudah?

Adakah Saarani cuba melindungi sesuatu di sebalik kenyataan beliau itu untuk melindungi seekor kuda trojan yang dihantar menyelusup masuk ke dalam kubu yang dibina kukuh dengan benteng setinggi pokok kelapa dan setebal tembok besar negeri China?

Saarani perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan demi kenyataan kerana lama-kelamaan taktik dan strategi pembangkang ini akan terbongkar jua dan akhirnya terdedah siapakah dalang yang menjadi anai-anai itu.

Adakah ia sekoloni anai-anai yang kecil atau seekor kuda kayu yang ‘besar’ yang membawa askar menyelinap masuk ke kubu lawan dan keluar pada waktu malam memusnahkan kubu tersebut ketika orang ramai sedang neyenyak tidur.

Ironinya, kuda trojan juga dibina dari kayu tetapi di dalam kisahnya ia tidaklah dimakan oleh anai-anai. Ia digunakan untuk membawa askar memasuki kubu lawan yang dianggap kuat dan sukar untuk ditembusi melainkan dengan tipu helah yang tidak disangka.

Oleh kerana ia hanya sebuah kuda kayu yang tidak bernyawa, tiada siapa menyangka apa yang mampu dilakukan dan berapa besar kemusnahan yang bakal dicipta.

Sebagai Ketua Pembangkang, adalah tindakan yang bodoh dan tidak strategik untuk memberi amaran kepada musuh bahawa terdapat anai-anai atau musuh dalam selimut atau duri dalam daging yang akan menghancurkan pasukan lawan dari dalam.

Sebagai ketua pembangkang, tentunya Saarani mempunyai helah tertentu dengan membuat kenyataan untuk mengolah jalan cerita dengan memberi amaran kepada Menteri Besar supaya kerajaan negeri akan mengikut jalan cerita atau skrip yang sudah disiapkan olehnya.

Tidak ada musuh di dalam dunia ini yang begitu baik hati untuk memberi tahu lawannya bahawa istana kamu sedang musnah kerana terdapat anai-anai di dalamnya.

Lebih baik mendiamkan diri dan membiarkan perkara itu berlaku dengan sendiri dan memudahkan kerja. Beliau tidak perlu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan, biarkan anai-anai melakukan tugasnya dan diamkan saja.

Amatlah bodoh sekali jika di kalangan anggota Pakatan Harapan mengikuti jalan cerita yang disiapkan oleh Datuk Saarani dengan melakukan tindakan-2 yang mengundang rasa syak wasangka di kalangan anggota majlis dan Adun Pakatan.

Tidak sukar untuk memahami maksud skrip ciptaan Saarani dengan membaca siapa yang diberi amaran dan siapa yang dikatakan anai-anai.

Tetapi amaran bahawa terdapat musuh dari dalam yang sedang bekerja meruntuhkan kerajaan negeri memang ada, tetapi bukan dalam bentuk seperti yang disampaikan oleh Saarani. Itu memang strategi yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang kalah dan tidak boleh menerima kekalahan. Apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin Pakatan ialah sentiasa bertindak bijak, waspada dan peka terhadap setiap gerak geri dan tindakan yang dilakukan oleh rakan-rakan yang duduk di sebelah mereka.