UMNO Ibarat `Kapal Pecah’ Terumbang-ambing dan Bakal Karam

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Tindakan ramai Adun dan Ahli Parlimen UMNO Sabah bertindak keluar parti itu membuktikan UMNO sedang terumbang-ambing ibarat `kapal pecah’ dan bakal karam.

Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar, kapal yang pecah dan beransur-ansur karam menyebabkan tikus-tikus yang berada di dalam kapal lari bertempiaran.

Katanya,  tindakan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), empat ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah bertindak meninggalkan parti itu semalam menunjukkan mereka tidak mampu lagi berlindung dan bertahan di bawah naungan UMNO.

Beliau meramalkan ramai lagi anggota parti itu bakal bertindak keluar meninggalkan UMNO susulan tindakan rakan mereka di Sabah.

“Ini satu malapetaka kepada mereka dan saya menyeru mereka yang ada di Perak ini pun tinggalkan (kapal) yang karam itu,” kata beliau.

Ditanya sama ada pimpinan PH akan menerima mereka masuk ke dalam gabungan, beliau yakin pucuk pimpinan akan membuat tapisan terlebih dahulu.

“Namun saya percaya pucuk pimpinan Pakatan Harapan tidak semudah itu untuk mengambil mereka ini menyertai PH,” katanya.

Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan cadangan pembukaan Wholesale City dan Business Learning Centre, di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Semalam, UMNO Sabah menerima tamparan hebat apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah bertindak meninggalkan parti itu.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk HajijiMohd Noor, bersama 14 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin MohdArif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk ZakariaMohdEdris (Libaran).

Dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar UMNO untuk bersama kumpulan terbabit.