Anggota Imigresen Direman Salahguna Cap Sempadan

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah reman antara tiga dan tujuh hari terhadap 23 individu termasuk anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan negara.

Menurut laporan BERNAMA, mereka yang terdiri dari 19 lelaki dan empat wanita tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 10 pagi dipakaikan dengan baju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin mengeluarkan perintah reman terhadap 23 individu yang berumur antara 21 dan 55 tahun itu selepas mendengar permohonan SPRM dalam prosiding yang berlarutan kira-kira dua jam setengah.

Dua belas daripada mereka direman selama tujuh hari, sembilan lagi direman lima hari manakala dua lagi masing-masing direman tiga serta empat hari.

Menurut sumber SPRM, 14 individu yang direman itu merupakan penjawat awam manakala selebihnya orang awam.

Difahamkan anggota Imigresen yang direman itu bertugas di Ibu Pejabat Imigresen di sini serta Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). 

Sumber itu memaklumkan mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan khususnya di KLIA, KLIA2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru, Johor.