Banyak Medan Selera Di Parlimen Ipoh Barat Berada Dalam Keadaan Daif

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

IPOH: Mengejutkan….masih banyak medan selera yang terdapat di sekitar Bandaraya Ipoh berada dalam keadaan daif yang memerlukan perhatian segera oleh pihak berkenaan.

Kemudahan untuk orang ramai yang disediakan di kebanyakan medan selera ini sudah 10 tahun tidak diperbaiki dan dikendalikan dengan baik antaranya kerosakan kipas yang tidak diperbaiki, tandas dan longkang tersumbat dan persekitaran kawasan medan selera yang tidak bersih.

Ini jelas menjadikan antara penyebab medan-medan selera ini semakin kurang dikunjungi orang ramai.

“Senario tidak baik ini tidak harus dibiarkan berterusan kerana ia memberi imej yang kurang baik kepada Bandaraya Ipoh selaras dengan slogannya `Ipoh Bandaraya Bersih, Hijau dan Membangun’.

Justeru itu baru-baru ini Ahli Parlimen Ipoh Barat, Datuk M. Kulasegaran mahukan semua kawasan tumpuan awam termasuk medan selera diberi nafas baru dan dihidupkan kembali suasana keceriaannya sepertimana yang pernah dilalui pada era tahun -tahun sebelum ini.

Menurut pegawai khasnya, Roslan Ali, bertindak atas arahan ahli Parlimen Ipoh Barat itulah maka baru-baru ini beliau bersama beberapa rakan sekerja telah membuat gerak kerja memantau seluruh kawasan tumpuan awam termasuk medan selera dan pasar awam di Buntong, Kampung Tawas dan Super Kinta untuk melihat tahap kebersihan dan kemudahan sedia ada di tempat-tempat berkenaan.

“Hasil tinjauan dan lawatan saya dapati masih terdapat medan-medan selera di dalam Parlimen Ipoh Barat antaranya medan selera Jalan Ashby kini berada dalam keadaan daif.

“Kita mengenalpasti kemudahan awam seperti lampu-lampu, kipas yang telah rosak tidak diganti sejak sekian lama. Tandas pula rosak dan tersumbat manakala longkang-longkang tidak dibersihkan.

“Laporan yang kita terima banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan namun tiada tindakan susulan diambil untuk memperbaikinya dan keadaan ini berlaku semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Kini hasil gerak kerja yang kita lakukan sudah 40 peratus kemudahan di medan-medan selera ini seperti tandas tersumbat, lampu-lampu dan kipas rosak sudah dan sedang diperbaiki untuk keselesaan orang ramai khasnya pengunjung,” kata Roslan kepada Independent.my pada Rabu..

Beliau optimis semua kawasan tumpuan awam dalam kawasan Parlimen Ipoh Barat ini akan kembali menyerlah dan ceria susulan gerak kerja pembersihan dan pembaikan yang dijalankan oleh pihak berkenaan. 

Berikut sebahagian foto keadaan semasa di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu sebelum gerak kerja pembersihan dilakukan dan selepas pembersihan dijalankan.