Industri Kayu Perak Diberi `Nafas Baru’ Tingkatkan Hasil Negeri

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Industri berasaskan kayu di Perak akan diberi `nafas baru’ bagi mengubah tanggapan lama memotong, menebang dan menjual sehingga mengakibatkan ia kurang memberi pulangan hasil kepada kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, melalui pendekatan baru yang dijalin bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Invest Perak, produk hutan berasaskan kayu akan dipelbagaikan bagi memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negara.

Katanya, Perak mempunyai potensi besar dan masa depan yang cerah dalam industri berasaskan kayu ini kerana ia mempunyai keluasan hutan yang amat luas.

“Perkara ini boleh berikan satu jelmaan baru industri kayu di Malaysia oleh kerana tradisinya kita hanya mendapat pulangan paling kecil dari industri ini di Perak.
“Kita boleh peroleh hasil yang tinggi menerusi industri ini, sehingga kini kita masih harapkan hasil balak dengan potong di hutan, bawa ke lori dan jual…kali ini keluar dari pemikiran usang dan pergi setapak lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan MTIB di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Hadir sama Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr. Jalaluddin Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Perak, Sayed Sharifuddin Sayed Shamshuddin.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Nizar berkata industri kayu turut membuka peluang penggunaan bahan mentah itu bagi pembinaan rumah berasaskan kayu dan harga rumah lebih murah selain proses pembinaan yang cepat.

“Ia bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan untuk membina 50,000 unit rumah mampu milik dalam masa lima tahun, pendekatan ini menjadikan bahan pembinaan rumah berasaskan kayu dan harga rumah lebih murah dan proses pembinaan yang cepat.

“Perak juga merupakan negeri yang masih banyak kayu bermutu tinggi dan peluang ini patutnya digunakan secara menyeluruh untuk hasilkan lebih banyak produk,” katanya.

Selain itu menurut Nizar, perkembangan industri berasaskan kayu di Perak turut melibatkan produk berasaskan buluh yang kini mendapat pasaran baik dalam dan luar negara.

“Kerajaan kena lihat untuk tempatkan kawasan sekurang-kurangnya 100 hektar dengan tanaman buluh untuk dibekalkan kepada kilang-kilang.
“Ini juga turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda untuk menceburi bidang penanaman buluh dengan bantuan pihak MTIB,’’ ujarnya.