Bekas Mekanik Hilang Upaya Bekerja Dapat Simpati YB Dr Aziz Bari  

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Keperitan hidup sekelip mata yang dialami seorang mekanik, Samsuri Che Mat, 41, akibat satu kejadian kemalangan jalan raya sehingga beliau hilang upaya untuk bekerja sekaligus menyara isteri dan empat orang anak mendapat perhatian dan simpati ADUN Tebing Tinggi, YB Dr Abdul Aziz Bari.

Pagi tadi, Dr Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak telah turun ke lapangan mengunjungi rumah Samsuri di nombor 67 Pesara 12, Bandar Lahat Baru untuk menyampaikan kotak Bantuan Harapan. Hadir sama Ketua Kampung Lahat, Zakaria Jaafar.

Dr Abdul Aziz meluangkan masa hampir sejam mendengar rintihan Samsuri yang telah hilang upaya untuk bekerja akibat kemalangan itu serta berjanji akan membantu mengurangkan beban permasalahan yang dihadapi Samsuri.

Katanya, beliau akan membantu mempercepatkan proses permohonan rayuan mendapatkan bantuan SOCSO setelah permohonan pertama Samsuri ditolak bersandarkan keputusan panel pihak SOCSO.

“Melihat keadaan Samsuri yang kini terpaksa bertongkat dan tidak berupaya untuk bekerja sekaligus tidak mampu mencari punca pendapatan menyara keluarganya amat wajar sekali diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Samsuri sebelum itu berkata, beliau kehilangan upaya dalam sekelip mata apabila terbabit dalam satu kemalangan jalan raya semasa hendak menghantar anak ke sekolah pada 23 November tahun lalu.

“Dalam kejadian jam 7 pagi itu semasa berada di simpang lampu isyarat Station 18 berhampiran AEON, apabila isyarat lampu menunjukkan isyarat hijau saya yang menunggang mototikal tiba-tiba tergaman apabila dilanggar oleh sebuah kereta.

“Saya kemudian dimasukkan ke hospital Besar Ipoh selama seminggu setelah mengalami patah tulang peha kanan dan melalui pembedahan memasukkan besi … sejak hari itu hingga ke hari ini saya terpaksa bertongkat kerana hilang upaya untuk bergerak lama.

“Jika sebelum ini saya membuat kerja sambilan berniaga dan menjadi mekanik kereta dengan pendapatan RM2,000 sebulan tapi malangnya hari ini saya tidak mampu bekerja mencari nafkah membantu anak isteri saya.

“Saya berterima kasih kepada YB Dr Abdul Aziz Bari kerana datang mendengar dan melihat keperitan hidup saya dan akan membantu meringankan permasalahan hidup saya ini,” ujarnya.

Menurut Samsuri, beliau mempunyai empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan dimana seorang menuntut di tingkatan satu, anak kedua darjah lima, anak ketiga berumur 6 tahun dan yang bongsu 2 tahun.