‘Peja’ Optimis GBS@Ipoh Atasi Masalah Pengangguran di Perak

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu optimis isu pengangguran terutama yang membabitkan graduan di negeri ini akan dapat diatasi berikutan langkah yang diambil lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) mahu melebarkan operasi mereka di Ipoh.

Beliau berkata, inisiatif GBS@Ipoh dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak.

Menurut Ahmad Faizal, langkah yang diambil GBS@Ipoh ini akan dapat mengurangkan aliran keluar modal insan serta menarik minat rakyat Perak kembali berkhidmat di negeri sendiri.

Katanya, usahasama mantap ini juga akan membuka peluang 1,500 peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan.

“Ia sekali gus membantu menyelesaikan isu pengangguran di Perak yang mana statistik menunjukkan 22.7 peratus daripada sejumlah 20,341 graduan di Perak masih menganggur,’’ katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara NCIA, Kerajaan Perak dan syarikat-syarikat GBS, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John serta wakil-wakil syarikat terlibat.

Menurut Menteri Besar, Bandaraya Ipoh sememangnya diiktiraf sebagai destinasi GBS dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Katanya, lima syarikat ini akan memulakan operasi di Bandaraya Ipoh pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

“GBS@Ipoh ini akan menarik pelaburan berjumlah RM486 juta dan paling penting akan mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi,’’ kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata, kehadiran lima syarikat yang akan berpusat di Falim itu bakal menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di Ipoh.

Jebasingam Issace pula berkata, GBS memilih Perak sebagai lokasi mengembangkan perniagaan kerana potensi sedia ada di negeri ini khususnya di Bandaraya Ipoh.

Menurut beliau, sebelum ini GBS sudah pun bertapak di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, namun Perak berada dalam landasan terbaik untuk berkembang dengan kemudahan serta kos operasi yang masih rendah.