Murtabak Resepi Turun-temurun ‘Raja Murtabak’ Tarik Pembeli Dari Pelbagai Kaum

Reading Time: 3 minutes

Nama ‘murtabak Singapore’ begitu sinonim bagi warga Ipoh terutama penduduk Taman Cempaka sejak dahulu hingga ke hari ini kerana apabila dimakan rasanya amat sedap dan harganya pula murah.

Maka tidak hairanlah apabila tiba Ramadan, peniaga ‘murtabak Singapore’ ini, Haidir bin Mahbud tidak menang tangan untuk membuat murtabak bagi memenuhi permintaan ramai.

Beliau yang lebih senang dipanggil dengan gelaran ‘Raja Murtabak’ sudah berniaga di bazar Ramadan Taman Cempaka, Ipoh sejak 1981 lagi.

Menurut Haidir, resepi asalnya datang dari arwah datuknya yang pada suatu ketika dahulu berniaga murtabak di Singapura. Kini resepi itu diturunkan kepada beliau melalui bapanya. 

Murtabak Singapore lebih padat, lebih banyak dagingnya, tetapi di sini beliau perlu membuat sedikit perubahan komposisi untuk sesuaikan dengan harganya yang lebih murah malah mendapat sambutan menggalakkan dari pelanggan.

Jika peniaga lain menaikkan harga makanan saban tahun, beliau pula lakukan sebaliknya. Beliau menurunkan harga dari RM3 ke RM2 sekeping, kini jatuh RM5 untuk 3 keping iaitu kira-2 RM1.66 sekeping.

Beliau merasakan kalau letak harga tinggi akan menyusahkan orang dan pelanggan tidak mahu membeli makanan yang mahal.

Haidir berkata, beliau tidak berniat untuk menjatuhkan perniagaan pesaingnya cumanya beliau tanamkan niat untuk membantu orang ramai tidak kira susah atau senang, supaya mereka sama-sama dapat merasai dan menikmati keenakan murtabaknya dengan harga yang berpatutan.

Dengan harga serendah RM2 sekeping, terdapat dua pilihan iaitu murtabak ayam dan daging lembu.

Menurut Haidir, beliau memilih Taman Cempaka kerana tempat ini sudah sebati dengan dirinya dan pelanggan setia sudah kenal dan sentiasa tidak sabar menanti kedatangan bulan Ramadan untuk menikmati keenakan murtabaknya.

Haidir berkata, beliau juga sayangkan pelanggan setianya maka sebab itu beliau kekal berniaga di sini. Tambahan jika berpindah ke tempat lain maka akan kehilangan pelanggan setianya.

Pelanggannya bukan saja di kalangan orang Melayu, malah terdiri dari pelbagai bangsa iaitu Cina dan India, tua dan muda. Murtabak Singapore dijual pada harga yang mampu dibeli oleh semua orang tidak kira yang bekerja atau golongan pelajar.

Haidir memilih Taman Cempaka sebagai lokasi perniagaannya kerana taman berkenaan terletak berdekatan dengan pusat menuntut ilmu seperti Politeknik Ungku Omar, Sekolah Raja Chulan, Sekolah Star dan Sekolah Izzudin Shah.

Dalam sehari biasanya anggaran purata 400 keping habis terjual, dan pada waktu puncak mencecah 700 keping.

Mungkin antara rahsia jualan murtabak beliau begitu laris adalah kerana beliau suka mengamalkan cara berniaga yang sangat pemurah dan ramah, lebih gemar memberi dan tidak terlalu berkira.

Selain bulan puasa, Haidir berniaga di hadapan masjid politeknik dengan pilihan yang lebih banyak bukan saja murtabak ayam dan daging lembu, malah terdapat pilihan murtabak kambing, kambing cheese, ayam cheese dan daging lembu cheese. Beliau juga turut menjual apam balik dan roti John di hari biasa. Manakala isterinya membantu menjual cucur udang. 

Selain itu, katanya, beliau ada menyediakan pakej katering untuk majlis-majlis keraian seperti majlis kahwin, acara korporat dan sebagainya dengan harga yang rendah.

Untuk pakej 500 kepala, atau beliau sebut sebagai pakej ‘3 serangkai’ iaitu murtabak (ayam/lembu/kambing), apam balik dan cucur udang, pelanggan cuma membayar RM1,500 sahaja. Pakej termasuk 300 keping murtabak, 500 keping apam balik dan cucur udang.

Bagaimanapun beliau biasanya akan meyediakan lebih kerana maklum bahawa kebiasaannya tetamu akan ambil lebih dari satu.

Haidir memberi jaminan bahawa harga untuk majlis keraian yang dinyatakan adalah tetap dan tidak akan dinaikkan.

Kepada yang ingin membuat tempahan boleh terus hubungi Haidir atau ‘Raja Murtabak’ di nombor 011-14426260.