Rabies : Sarawak catat kematian ke-17

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — Satu lagi kes kematian akibat rabies direkodkan di Sarawak apabila seorang lelaki berumur 26 tahun dari Kuching meninggal dunia pada 9.15 pagi semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki itu merupakan mangsa ke-18 yang dijangkiti rabies sejak wabak itu diumumkan pada 1 Julai 2017.

“Pada 31 Mei 2019, ujian makmal ke atas sampel kes tersebut telah mengesahkan ia positif rabies,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, dengan pengesahan kes baharu itu, jumlah rabies di Sarawak sejak 1 Julai tahun lepas adalah 18 kes, termasuk 17 kematian.

“Hanya seorang mangsa sahaja yang selamat iaitu seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun, tetapi mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kes rabies ke-18 itu merupakan mangsa ketiga jangkitan penyakit itu akibat dicakar anjing yang diambil atau dipungut dari sumber tidak diketahui, malah status vaksinasi rabies haiwan-haiwan tersebut juga tidak diketahui.

“Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin sekali lagi mengingatkan orang ramai khususnya di Sarawak agar tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala,” katanya.

Beliau berkata pencegahan paling mudah daripada jangkitan rabies adalah segera cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan selepas itu segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Menurut Dr Noor Hisham, Sarawak masih belum bebas rabies dan sejak 1 Julai 2017 sehingga 30 Mei lepas, kerajaan negeri itu telah mengisytiharkan 62 kawasan di 11 Bahagian di negeri itu sebagai kawasan jangkitan rabies.

“Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan. Maka perlu dipastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies di klinik haiwan terdekat,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pemilik sentiasa memastikan haiwan peliharaan berada dalam kawasan rumah dan tidak bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

“Kerjasama orang ramai mematuhi semua saranan kerajaan amat-amat diperlukan bagi bersama-sama mengawal populasi anjing di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA