Aplikasi Portal Perak Digital dapat sambutan menggalakkan

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 1 Jun (Bernama) — Portal Perak Digital iaitu sistem permohonan dalam talian untuk usahawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon dana mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 100 permohonan diterima sejak dilaksanakan pada April lepas.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata sistem yang dilaksanakan mulai 1 April oleh unit penerangan kerajaan negeri dan Kperak itu mampu menjimatkan masa serta kos sekali gus menjimatkan kewangan kerajaan negeri.

“Saya ingin berkongsi dan memperluaskan penggunaaan aplikasi ini kepada Exco Kerajaan Negeri Perak yang lain supaya kita dapat selaraskan permohonan ini.

“Dengan adanya aplikasi ini, ia memudahkan kelulusan permohonan dana kepada NGO, tidak perlulah tunggu sehingga saya berada di pejabat meneliti surat-surat permohonan yang mengambil masa. Saya boleh meluluskan permohonan pada bila-bila masa,” katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim, NGO, dan agensi-agensi kerajaan di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata permohonan dana hendaklah berkaitan program melibatkan modal insan, kebajikan, menjana ekonomi, berunsur keagamaan, dan keselamatan untuk dipertimbangkan kelulusannya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Perak dan badan-badan gabungan NGO untuk meneliti serta memahami kaedah pentadbiran dan pengurusan NGO sebelum ini.

Terdahulu, seramai 20 anak-anak yatim daripada Persatuan Kebajikan dan Miskin Al Munirah dan Darussalam yang diraikan pada majlis itu menerima sumbangan duit raya.

— BERNAMA