Perak Akan Terus Pastikan Belanja Secara Berhemah

Reading Time: < 1 minute

Seberang Perak | Kerajaan negeri Perak akan terus memastikan agar setiap sen yang dikeluarkan dan dibelanjakan mengikut keutamaan dan bersandarkan kepada keperluan semata-mata.

Menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, masih terdapat ramai golongan yang memerlukan pembelaan di negeri ini dan mereka merupakan golongan yang sepatutnya diberi keutamaan.

“Kita kurangkan bajet untuk perkara tidak begitu penting dan dahulukan perkara yang membawa manfaat kepada rakyat.

Kalau hendak buat satu-satu majlis contohnya, tak perlu khemah besar dan luas dengan dekorasi yang hebat sebaliknya berbelanja hanya mengikut keupayaan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan berjumlah RM257,750 dari badan-badan korporat untuk diberikan kepada 1,031 keluarga yang tinggal di Felcra Seberang Perak, pagi tadi.

Sumbangan sebanyak RM250 disampaikan kepada setiap penerima adalah bagi membantu mereka untuk membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri 1 Syawal nanti.

Di samping itu, sebanyak 800 Kotak Harapan mengandungi barangan asas turut diedarkan kepada golongan memerlukan.