Beri Peluang MB Urus Tadbir Perak Dengan Sebaiknya – Datuk Azhar

Reading Time: 2 minutes

BATU GAJAH: Rakyat Perak harus memberi peluang kepada kerajaan baharu pimpinan Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Dato’ Azumu untuk mengurus tadbir negeri ini dengan sebaiknya.

Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Haji Azhar Ahmad berkata, ini kerana rakyat jugalah yang telah memberikan mandat kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk mentadbir Perak.

“Aspirasi rakyat itulah yang telah dizahirkan melalui undi…Walaupun di Perak dilihat kekuatan seimbang tapi kita kena akui sekarang ini kerajaan Pakatan Harapan memerintah negeri Perak,’’ katanya.

Datuk Azhar berkata demikian kepada Independent pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua (Islam) Titian Abadi (Pekita), Batu Gajah pada Sabtu. Hadir sama Pengerusi Pekita, Ahmad Wan Chik.

Datuk Azhar seterusnya menambah, harapan rakyat Perak hari ini, apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan PH hendaklah ditunaikan.

“Harapan kita sebagai rakyat Perak apa yang telah diwar-warkan… dijanjikan seboleh-bolehnya ditunaikan, bukanlah semata-mata hanya kita nak menang pilihanraya kita telah beri satu harapan kepada rakyat yang luar biasa.

“Tapi bila Allah telah mentakdirkan memberi peluang dan kuasa kepada kita, kita gagal untuk memenuhi segala janji yang telah dilontarkan sebelum pilihanraya.

“Jadi saya sangat yakin, kerajaan di bawah pimpinan YAB Ahmad Faizal akan terus membantu rakyat khususnya anak yatim, rumah-rumah kebajikan, ibu-ibu tunggal dan rakyat luar bandar yang masih susah dan sepertimana yang telah dibuat kerajaan terdahulu.

“Saya yakin mana yang baik diteruskan, mana yang kurang baik diperbaikkan… yang mana yang longgar diikatkan supaya ianya tidak statik malahan terus berjalan secara dinamik.

“Jadi itu maksudnya, tapi apapun kesimpulannya kita harus memberi peluang kepada YAB Menteri Besar untuk jalankan tugas… jangan ganggu dia… jangan gugat dia, saya secara peribadi akan terus memberi sokongan yang kuat kepada MB untuk jalankan tugas… kerana ini mandat rakyat dan amanah daripada Allah.’’ kata Datuk Azhar.

Ditanya mengenai usaha Pekita mendapatkan dana untuk memiliki sebuah bangunan sendiri yang lebih selesa, beliau berkata, sudah sampai masanya perkara ini diberi sokongan sewajarnya oleh kerajaan negeri.

Menurut Datuk Azhar, beliau difahamkan Pekita sebelum ini kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah Daerah Batu Gajah telah meluluskan sebidang tanah di Ara Payung untuk membina sebuah pusat jagaan orang tua Islam namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan dana.

“Kalau untuk membina bangunan yang selesa rasanya menelan kos lebih RM400,000.

“Rumah kebajikan orang tua Islam Pekita ini mempunyai seramai 26 penghuni dan saya difahamkan sudahpun wujud 10 tahun di bawah pemantauan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat namun terpaksa menyewa sebuah bangunan lama yang kini dianggap kurang selesa kerana keadaan bilik yang sempit.

“Sudah sampai masanya Pekita memerlukan sebuah bangunan sendiri dengan sokongan kerajaan negeri supaya semua penghuni rumah kebajikan ini mendapat layanan dengan baik dan selesa.

“KADIR penuh yakin kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar YAB Ahmad Faizal akan membantu rakyat kerana jiwanya adalah jiwa rakyat… beliau prihatin dalam permasalahan yang sedang dihadapi Pekita,’’ katanya.