MATTA Akan Terus Kerjasama Promosi Industri Pelancongan Malaysia

Reading Time: < 1 minute

IPOH – Persatuan Ejen Kembara dan Pelancongan Malaysia (MATTA) akan terus bekerjasama dengan pentadbiran kerajaan Malaysia yang baharu dalam menjalankan promosi untuk menarik lebih ramai pelancong datang melawat ke Malaysia.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, MATTA adalah sebuah entiti penting dalam mempromosi produk pelancongan Malaysia ke serata dunia.

“MATTA adalah sebuah organisasi yang mewakili majoriti ejen dan pengusaha pelancongan dan kami adalah organisasi utama negara akan terus menjadi wakil untuk kerajaan baru dalam beberapa aspek dalam industri pelancongan yang perlu diperbaiki contohnya modernisasi industri pelancongan, kami sedang melihat pengusaha pelancongan haram, kami harap kerajaan baru dapat meminimumkan pengusaha pelancongan haram bukan saja di Facebook malah di premis pejabat yang telah mengakibatkan mereka (anggota MATTA) kehilangan pelanggan.

“Kami juga sedang melihat ke dalam pasaran digital. MATTA akan menubuhkan satu platform teknologi digital untuk bersaing dengan ejen dalam talian dari luar negara. Kami sedang bekerjasama dengan Malaysian Hotel Association untuk memastikan kadar bilik yang kompetitif supaya dapat kekal bersaing dengan Agoda, Booking (.com) dan sebagainya.” katanya selepas makan malam semasa berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan MATTA di Hotel Weil, Ipoh.

Turut hadir sebagai tetamu ialah Menteri Besat Perak, YAB Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu.

Ipoh telah dipilih sebagai lokasi AGM bagi tahun ini. Ini adalah kali kedua dalam tempoh 43 tahun ia diadakan di Ipoh. MATTA mempunyai seramai 3,200 ahli dari kalangan ejen dan pengusaha pelancongan.

“Matta akan terus menjalankan lebih banyak promosi ke China, India, negara-2 Asia dan juga mempromosi pelancongan domestik melalui pameran pelancongan di Kuala Lumpur, Ipoh dan lain-2 tempat di Malaysia.” menurut Tan.

Untuk tahun ini, MATTA telah membuat promosi di ITB Berlin, sebuah pameran pelancongan yang dianggap terbesar di dunia.

“MATTA membuat promosi pada skala yang besar untuk membawa pelancong luar datang ke Malaysia,” ujar beliau.