‘Bye-bye’ Kepada Ahli Majlis PBT DAP Yang Terlibat Skandal, Salahlaku – Nga Kor Ming

Reading Time: 2 minutes

IPOH: DAP Perak memperkenalkan polisi lebih tegas tidak akan berkompromi dengan ahli parti yang menjadi ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang didapati salah guna kuasa atau terbabit dalam skandal yang boleh menjejaskan parti.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming menegaskan, mereka yang dikesan terlibat akan ditamatkan perkhidmatan tanpa perlu menunggu lagi tempoh perkhidmatan mereka berakhir.

“Saya ingatkan, sebagai ahli majlis yang mewakilii parti, mereka perlu sentiasa diingatkan supaya menjaga tingkah laku masing-masing.

“Jangan ingat apabila ambil jawatan ahli majlis buat kerja sambil lewa, terlibat skandal… saya ucap bye-bye,” kata Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Negeri Perak.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat sempena program Retreat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan DAP, di sebuah hotel di Ipoh pada Sabtu.

Menurut Nga, di bawah pemerintahan kerajaan baharu ini tiada lagi istilah ‘SLR’ (uruskan sampah, longkang dan rumput) sahaja tetapi tanggungjawab lebih jauh daripada itu iaitu mesti memikirkan tentang misi dan visi masa depan setidak-tidaknya 5 tahun akan datang dengan memberikan keutamaan kepada rakyat dalam menyelesaikan permasalahan mereka.

Untuk itu, beliau mahukan setiap ahli majlis DAP menghafal Akta Kerajaan Tempatan Tahun 1971 dan Undang-Undang Kecil bagi memastikan mereka dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang ahli majlis yang berintegriti.

“Sebagai ahli majlis, ahli parlimen, perlembagaan persekutuan adalah kitab kerja anda. Anda mesti tahu perlembagaan persekutuan kerana ia adalah undang-undang tertinggi negara.

“PBT kena tahu tanggungjawab dan peranan kepada rakyat… jangan buat kerja sambil lewa kerana ia akan memberi imej tidak baik kepada parti dan kerajaan.

“Jangan ingat jadi ahli majlis esok boleh lulus lesen, beri tender…, semua boleh buat sesuka hati, jika anda buat macam ini, I wish you good luck, MACC will come after you very soon (saya doakan kamu bernasib baik, SPRM akan mencari kamu dalam masa terdekat),” sindir beliau.

Antara yang hadir pada majlis hari ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, YB Paul Yong Choo Kiong, Ahli Parlimen Ipoh Timur, YB Wong Kah Woh, serta Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.