IPOH: Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming menganggap tindakan MCA menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong 8 September depan sebagai satu pembohongan kepada rakyat.
Katanya, MCA mahu `borak’ kosong kerana tidak mahu menggunakan logo Barisan Nasional (BN) sedangkan mereka masih lagi berada dalam BN. Menurut Nga Kor Ming, kenyataan yang dibuat Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai itu hanyalah sekadar mahu mengaburi mata rakyat dan pengundi.
Katanya, MCA masih komponen BN walaupun tidak mahu menggunakan logo BN pada PRK kali ini.
“MCA buat borak kosong tak mahu pakai lambang BN… Pada hemat saya, ia satu pembohongan kepada rakyat kerana mereka masih dalam BN.
“Jika dia nak guna lambang sendiri, perkara yang wajar dibuat adalah dia mesti wajib keluar dari Barisan Nasional,” tambah Nga yang juga Pengerusi DAP Perak.
Baginya, ini menandakan dua perkara bahawa mereka sendiri tidak yakin dengan parti Barisan Nasional dan tindakan sedemikian adalah usaha untuk membohongi rakyat.
“Ini jelas mereka sendiri tidak yakin dengan BN sebab nak pakai logo sendiri tapi masih duduk dalam BN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sempena program Retreat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan DAP, di sebuah hotel di Ipoh pada Sabtu.
Semalam, Tiong Lai dalam sidang media memaklumkan bahawa MCA akan menggunakan logo sendiri pada PRK DUN Balakong yang akan berlangsung pada 8 September depan. Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh pimpinan MCA dan ia akan dibawa ke pengetahuan pimpinan tertinggi BN.