MB: Langkah Baik MAPS Tamat Perjanjian Dengan DreamWorks, Harga Tiket Bakal Turun

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menganggap keputusan Movie Animation Park Studios (MAPS) yang menamatkan perjanjian pemilikan harta intelek dengan DreamWorks Animation L.L.C ke atas kawasan tarikan DreamZone sebagai satu langkah yang baik.

Menurut beliau, langkah itu seiring dengan cadangannya kepada MAPS agar menjalinkan kerjasama dengan pihak lain bagi membolehkan kawasan tarikan itu dibuka kepada pengunjung dengan kadar segera.

“Saya percaya keputusan pentadbiran MAPS ataupun Perak Corporation Bhd (PCB) yang dibuat ini akan membantu mereka menyegerakan proses membuka semua tarikan yang ada, supaya pengunjung merasakan tiket yang dibeli, nilainya berbaloi dengan permainan yang ada.

“Sekarang ni kawasan tarikan agak terhad…Ramai yang pergi, menyatakan seronok kerana tempat yang cantik tetapi mereka tidak merasakan perbelanjaan mereka itu berbaloi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KPPSM Negeri Perak Ke-43 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat. Ahmad Faizal bagaimanapun tidak menafikan terdapat beberapa pemain industri lain yang menyatakan hasrat mereka berminat untuk bekerjasama dengan MAPS.

Sehubungan itu beliau berharap selepas mengadakan kerjasama dengan pihak yang baharu, harga tiket masuk ke taman tema tersebut serta harga barangan cenderahati, makanan dan minuman di situ akan lebih murah berbanding sekarang.

Semalam, Ketua Pegawai Operasi MAPS, Shafeii Abdul Gaffor mengesahkan perjanjian pemilikan harta intelek antara MAPS dan DreamWorks telah ditamatkan bulan lalu.