Pejabat Daerah Kuala Kangsar, Taiping Diminta Percepat Buka Semula Pejabat Penghulu

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Isu penghulu yang terpaksa menumpang pejabat Daerah Kuala Kangsar kerana bangunan pejabat Penghulu di Sayong dirobohkan untuk memberi laluan projek pembangunan mendapat perhatian kerajan negeri Perak.

Turut mendapat perhatian kerajaan negeri, bangunan pejabat penghulu Taiping yang daif dan khabarnya akan dipindahkan ke kawasan baru yang agak jauh yang dijangka menyukarkan orang ramai untuk berurusan.

Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu yang diberitahu mengenai isu berkenaan setelah dibangkitkan oleh Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Perak meminta Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan Taiping mempercepatkan proses pembukaan semula pejabat penghulu masing-masing.

Menurut beliau, ini penting bagi memudahkan rakyat berurusan dengan penghulu bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan lancar. Ahmad Faizal mengakui peranan dan tanggungjawab yang dimainkan penghulu dan penggawa dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak.

“Ini kerana mereka adalah penghubung jalinan antara rakyat dan Kerajaan, mereka juga banyak membantu tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya akan berhubung dengan Pegawai Daerah di kedua-dua tempat untuk mempercepatkan proses agar pejabat penghulu dapat dibuka dengan lebih segera,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga sedang mencari jalan untuk menjadikan fungsi penghulu dan penggawa lebih komprehensif dan relevan dalam suasana yang begitu kompleks dalam dunia hari ini.

“Saya menyambut baik langkah pihak kesatuan tentang kajian fungsi serta peranan penghulu ini, yang dapat membantu kerajaan negeri dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menteri Besar juga menjelaskan beliau sedia menimbang permintaan elaun keraian dan telefon bimbit kepada penghulu dan penggawa yang dibangkitkan oleh pihak kesatuan.

“Dua perkara penting saya nampak ialah berkenaan dengan elaun keraian dan elaun bil telefon bimbit, perkara itu saya secara “off hand” tidak boleh bagi komitmen.

“Saya berjanji untuk berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Jika kita mampu, kita akan berikan tapi dalam masa yang sama kalau kita buat satu keputusan berkenaan kewangan, implikasi kewangan itu terhadap Kerajaan perlu kita kaji secara menyeluruh, tidak boleh bagi pada satu pihak sahaja,” katanya.