Kerajaan Perak Wujud Lebih 6,000 Peluang Pekerjaan Di Bidor

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Perak berjaya mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada rakyat menerusi projek pembangunan Bandar Integrasi Sarung Tangan di Mukim Bidor dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.

Menurut Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Kossan Rubber Industries Bhd dalam usaha merancakkan ekonomi negeri.

“Kossan dan PKNP telah memilih daerah Batang Padang sebagai lokasi pelaburan terbaru mereka dengan perbelanjaan RM1.5 bilion dan ia akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis perjanjian kerjasama PKNP-Kossan Rubber Industries Bhd di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Katanya, kerajaan Perak akan sentiasa bekerjasama dan memberi ruang kepada pelabur tempatan yang juga bertaraf dunia untuk meneruskan perniagaan bagi memembantu meningkatkan ekonomi negeri.

Kossan Rubber Industries Bhd akan membangunkan tanah perindustrian milik PKNP berkeluasan 824 ekar terletak di Mukim Bidor dengan pembinaan kilang sarung tangan getah.

Syarikat berkenaan merupakan sebuah syarikat pembuatan sarung tangan yang ditubuhkan pada tahun 1979 dan telah disenaraikan di Bursa Saham Malaysia sejak tahun 1996 dengan penghasilan produk 100 peratus untuk pasaran eksport melebihi 190 buah negara di seluruh dunia.

Terdahulu, Ahmad Faizal turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan ECK Sdn Bhd untuk pembinaan 321 unit rumah mesra rakyat di Tronoh.

Katanya, projek perumahan di kawasan seluas 25 ekar di Tronoh itu melibatkan pembinaan rumah 1200 kaki persegi termasuk anjung yang akan dijual pada harga RM90,000 bagi setiap unit.

Katanya, projek perumahan ini amat dinanti-nantikan rakyat meskipun ia merupakan satu projek kecil yang hanya melibatkan 321 unit rumah.

“Namun begitu,saya ingin melihat keupayaan pihak pemaju untuk melaksanakannya jika ia dapat dibina dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, perumahan berkonsepkan mesra pemilik seluas 750 kaki persegi ini dijangka siap dibina dalam tempoh masa setahun.